Chin Tong bidas 'drama' keluar dewan

Antara ahli-ahli Parlimen pembangkang yang keluar dari Dewan Rakyat selepas usul pengeluaran KWSP tidak dibenarkan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Antara ahli-ahli Parlimen pembangkang yang keluar dari Dewan Rakyat selepas usul pengeluaran KWSP tidak dibenarkan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong membidas tindakan pembangkang yang bertindak keluar dari Dewan Rakyat berikutan usul mereka untuk membahaskan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditolak.

Tegasnya, tindakan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu didakwa dilakukan secara terancang dan hanya bersifat drama semata-mata.

"Hari ini kita melihat aksi ahli-ahli Parlimen pembangkang dari PN keluar Dewan Rakyat beramai-ramai untuk kali pertama sejak negara ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan.

"Seperti sekadar drama, hampir kesemua ahli Parlimen pembangkang kembali masuk ke dalam dewan selepas 15 minit, setelah cuba meyakinkan pihak media tentang aksi mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sesi pembukaan Dewan Rakyat sesi pagi Isnin kecoh selepas hampir semua ahli pembangkang PN bertindak keluar dewan.

Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Mengulas lanjut, Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa, pembangkang ketika ini jelas tidak mempunyai sebarang dasar ekonomi yang jelas, sebaliknya cuba bermain dengan emosi rakyat.

Jelasnya, mereka menggunakan isu pengeluaran bersasar KWSP di Parlimen sedangkan negara kini sedang dalam proses pemulihan ekonomi.

"Ini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional tidak ada sebarang idea yang bernas untuk transformasi ekonomi kepada majoriti rakyat Malaysia.

"PN sepatutnya menolong rakyat dengan membantu kerajaan menghadapi cabaran kitaran gaji rendah, produktiviti rendah, kemahiran rendah dan aktiviti nilai tambah rendah," katanya.

Justeru Chin Tong mengajak ahli Parlimen blok pembangkang untuk bersama-sama kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu rakyat.