Bekas pengurus besar kekal dijel 6 tahun, denda RM5.4j

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM5.4 juta ke atas seorang bekas Pengurus Besar anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah melebihi RM1 juta termasuk sebuah kereta mewah, BMW, lima tahun lepas

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas menolak rayuan Dr Shahanom Uthman, 55, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada 2017.

Dalam penghakimannya, Rozana berkata keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi adalah adil kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan melibatkan faktor kepentingan awam.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati hukuman penjara 26 tahun yang dijatuhkan terhadap tertuduh jika tidak membayar denda RM5.4 juta adalah keterlaluan dan ia perlu dikurangkan.

"Maka, mahkamah mengurangkan hukuman penjara sebanyak enam bulan ke atas enam sabitan dan mengurangkan 12 bulan penjara terhadap dua sabitan," katanya.

Oleh itu jika tertuduh tidak membayar denda itu dia perlu menjalani hukuman penjara 21 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju penjara berwarna merah dan tangannya bergari kelihatan tenang di kandang tertuduh.

Pada 21 Dis 2017, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM5.4 juta terhadap tertuduh selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah melebihi RM1 juta termasuk sebuah kereta mewah, BMW.

Artikel Berkaitan:

Bagi setiap pertuduhan itu, Shahanom dihukum penjara antara dua dan enam tahun serta didenda antara RM75,000 dan RM1.65 juta, dan kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dan jika gagal membayar denda, dia akan dipenjarakan 26 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM940,000 dan sebuah kereta BMW bernilai RM140,000 daripada Pengarah Syarikat Bina Mekar Sdn Bhd, Ahsan Sabri Pang Abdullah dan pekerja syarikat itu, Te Boon Chun sebagai upah agar memberi diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses.

Shahanom dituduh melakukan kesalahan itu di lima lokasi tempat letak kereta iaitu di bangunan Starhill Gallery, KL Festival City, Restoran Stadium Negara, Restoran ZK Al-Azmi Garden dan di pejabat Bina Mekar antara 11.30 pagi dan 9.00 malam, antara 5 Disember 2013 dan 18 Disember 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail mewakili pendakwaan manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang bertindak bagi pihak tertuduh ketika ditemui media berkata pihaknya mungkin akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu. - Bernama