Kerajaan digesa bantu pengusaha bas sekolah dalam Belanjawan 2022

Mohd Haron (kanan) bertemu Ka Siong (dua dari kiri) di pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya baru-baru ini untuk menyerahkan memorandum.
Mohd Haron (kanan) bertemu Ka Siong (dua dari kiri) di pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya baru-baru ini untuk menyerahkan memorandum.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya tidak meminggirkan kira-kira 15,000 pengusaha bas sekolah yang terjejas pendapatan menerusi Belanjawan 2022.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd Haron Mohd Sidik berkata, pihaknya memohon kerajaan supaya memberikan subsidi kepada pengusaha bas sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember ini.

Beliau yang membuat kunjungan hormat ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya baru-baru ini turut mencadangkan supaya mereka diberikan bantuan kewangan secara terus sebanyak RM1,800.

“Ada pengusaha yang terpaksa menjual bas sekolah untuk mendapatkan duit bagi menampung perbelanjaan keluarga. Ada juga yang terputus bekalan makanan asas dan terpaksa menyorokkan bas mereka di tempat lain kerana dikejar pihak kredit.

“Saya merayu agar kerajaan membantu kami dengan segera. Kami mula dikategorikan sebagai ‘spesies terancam’ dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan operasi nanti jika sekolah dibuka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Haron berkata, beliau turut menghantar memorandum kepada Ka Siong yang mengandungi sembilan perkara berkenaan isu-isu dialami pengusaha bas di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, antara perkara yang diutarakan dalam memorandum tersebut adalah meminta kerajaan mempertimbangkan penangguhan pemeriksaan Puspakom sehingga sekolah dibuka secara sepenuhnya.

“Selain itu, kami merayu kepada kerajaan supaya melanjutkan kebenaran usia bas sekolah beroperasi sehingga 40 tahun tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan di Puspakom,” katanya.

Artikel Berkaitan: