Naikkan kadar pencen pesara agensi kerajaan diswastakan

Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan cadangan bagi meningkatkan kadar bayaran pencen kepada semua pesara agensi kerajaan yang telah diswastakan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan nanti. Gambar hiasan.
Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan cadangan bagi meningkatkan kadar bayaran pencen kepada semua pesara agensi kerajaan yang telah diswastakan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan nanti. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan cadangan bagi meningkatkan kadar bayaran pencen kepada semua pesara agensi kerajaan yang telah diswastakan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan nanti.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ia melibatkan pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, North Port, Johor Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain.

Beliau berkata, antara cadangan untuk dipertimbangkan adalah kadar bayaran pencen minimum sekurang-kurangnya RM500 dan tambah nilai sebanyak 30 peratus kepada mereka yang menerima pencen melebihi RM500 secara 'one-off'.

"Kami dari UNI MLC mewakili Kesatuan-Kesatuan Dalam Syarikat GLC mencadangkan peningkatan bayaran ini yang melibatkan pesara-pesara daripada syarikat GLC yang telah diswastakan pada tahun 80-an dan 90-an.

"Ia wajar diambil kira memandangkan Kesatuan-Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC di era 80-an dan 90-an telah memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi tujuan melaksanakan Dasar Penswastaan Negara.

"Pekerja-pekerja yang terlibat dengan Dasar Penswastaan Negara ketika itu juga telah disarakan daripada perkhidmatan awam dan menerima pencen bulanan serendah RM 180, yang mana jumlah ini adalah di bawah Paras Kemiskinan Negara dan amat sukar untuk mereka menjalani kehidupan harian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohamed Shafie, kerajaan sepatutnya mengambil kira pengorbanan besar pekerja-pekerja tersebut kepada negara dan mereka bersetuju untuk disarakan daripada perkhidmatan awam walaupun tahun perkhidmatan mereka tidak cukup 25 tahun bagi mendapatkan pencen penuh.

Jelasnya, pencen yang diterima ketika ini adalah berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan terakhir dengan kerajaan dan gaji terakhir mereka ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengharapkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunakan pendekatan 'Keluarga Malaysia' akan mengambil kira cadangan bagi meningkatkan kadar bayaran pencen rendah kepada pesara-pesara terlibat.

"Kami juga mengharapkan keprihatinan dan pertimbangan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam perkara ini," ujar beliau.