GPMS harap guru beri kerjasama ambil vaksin Covid-19
KOTA BHARU - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) amat berharap guru-guru di seluruh Malaysia mendapatkan vaksinasi Covid-19 menjelang pembukaan sekolah secara bersemuka pada awal Oktober ini.
Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin terutamanya pelajar dan guru itu sendiri.
"GPMS juga kekal serius dalam usaha memastikan keselamatan pelajar-pelajar sepanjang sesi pembelajaran bersemuka berlangsung.
"Segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah diikuti serta dipatuhi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada 12 Mei, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0 telah mengisi ruang serta menjadi medium pendidikan di seluruh negara.
Beliau berkata, GPMS melihat pelaksanaan PdPR pada ketika itu adalah satu keperluan mengikut keadaan dan situasi semasa.
"GPMS melihat pelbagai usaha komprehensif yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang proses perbincangan dan sesi libat urus bersama pelbagai pihak terutamanya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar-pelajar serta semua pemegang taruh dalam sistem pendidikan telah memberikan pelbagai input kepada KPM dalam mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober nanti.
"Kerjasama dan perbincangan yang telah dibuat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan bahawa KPM serius dalam memastikan keselamatan pelajar tetap berada pada tahap optimum di kala kebimbangan jangkitan Covid-19 terus menjadi perbualan.
"Terima kasih kepada warga KPM yang bertungkus lumus dalam menjayakan pelan komprehensif bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke sekolah dengan SOP dan norma baharu sesi persekolahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!