Terlampau banyak 'scam', akhirnya Telegram beri kerjasama

Platform media sosial, Telegram hari ini akur untuk memberi komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM dalam mengekang isu keselamatan siber di platform berkenaan.(Gambar hiasan) - Foto Awani
Platform media sosial, Telegram hari ini akur untuk memberi komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM dalam mengekang isu keselamatan siber di platform berkenaan.(Gambar hiasan) - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Platform media sosial, Telegram hari ini akur untuk memberi komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang isu keselamatan siber di platform berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, dalam mesyuarat selama satu jam bersama wakil Telegram hari ini, beliau menegaskan terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di platform media sosial itu.

Jelas Fahmi, mesyuarat tersebut berlangsung di Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman, yang turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengerusi SKMM, Tan Sri Salim Fateh Din serta pegawai-pegawai tertinggi PDRM.

"Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sejak Januari 2020 hingga Mei tahun ini, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.

Sehubungan itu, tegasnya kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.

"Insya-ALLAH, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan," tambah beliau.

Awal bulan ini, Fahmi menggesa Telegram untuk bertemu dengan SKMM berhubung pelbagai isu keselamatan siber.

Beliau berkata, walaupun menerima syor yang tegas daripada SKMM, kementeriannya memberi peluang kepada Telegram untuk berhubung secara terus dengan suruhanjaya tersebut.

Pada 28 Mei, Telegram dilaporkan berkata pihaknya tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam "sebarang bentuk tapisan politik". - Awani