Enam kes baharu Covid-19 di Sarawak perlukan ventilator

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Enam daripada 3,743 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sarawak pada Sabtu melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan penggunaan ventilator, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan selain itu terdapat satu kes melibatkan jangkitan paru-paru dan satu kes memerlukan oksigen manakala selebihnya atau 99.79 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan.

Bagi pecahan kes baharu pada Sabtu antara daerah merekodkan angka tertinggi ialah Kuching dengan 1,405 kes diikuti Sibu (420), Bintulu (311), Samarahan (214), Bau (158), Sri Aman (146) dan Miri (122).

Angka kematian akibat Covid-19 pula meningkat kepada 617 orang apabila 10 kematian dilapor melibatkan individu berumur antara 48 hingga 89 tahun dengan lapan daripada mereka mempunyai sejarah penyakit.

Dua kluster baharu turut diisytihar pada Sabtu terdiri daripada Kluster Sungai Sawa, Pakan melibatkan 37 penduduk sebuah rumah panjang yang dikesan positif Covid-19 dan Kluster Nansang Wak, di daerah sama yang membabitkan 41 kes positif. - Bernama

Artikel Berkaitan: