Cadangan kaji semula kelulusan kegiatan kuari dibawa ke Mesyuarat Exco

Mohd Akmal bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pelancaran program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat negeri Perak yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom di sini pada Jumaat.
Mohd Akmal bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pelancaran program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat negeri Perak yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedia membawa cadangan kajian semula terhadap kelulusan dan ketetapan berkaitan kegiatan pengkuarian di negeri ini ke Mesyuarat Exco.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, cadangan dikemukakan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama tujuh lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar itu boleh diteliti secara baik di peringkat kerajaan negeri.

"Apa yang dinyatakan mereka (NGO) itu berkait rapat dengan cadangan membuat dasar baru berkaitan kuari, maka itu perlu dirujuk kepada kerajaan negeri melalui Menteri Besar.

"Kita ambil perhatian untuk dibawa kepada Menteri Besar melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," katanya pada sidang akhbar pelancaran program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat negeri Perak yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom di sini pada Jumaat.

Turut serta, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Sinar Harian pada 4 September lalu yang antara lain menggesa kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan menyambung tempoh pajakan atau pemilikan tanah di kawasan kuari-kuari batu kapur yang mempunyai keunikan nilai kepelbagaian hayat di daerah Kinta dan Kampar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Teliti semula kelulusan kegiatan kuari di Perak'

NGO berkenaan turut bersepakat menggesa pihak berkuasa negeri mempertimbangkan semula supaya tidak meluluskan lagi dan tidak menjadikan mana-mana kawasan dalam Hutan Simpan Segari Melintang sebagai kuari.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri memandang serius terhadap setiap pelanggaran syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh syarikat-syarikat operator kuari.

Katanya, tindakan tegas akan diambil di bawah bidang kuasa jabatan termasuk JAS sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan sepanjang pengoperasian berkenaan.

"Apabila kuari beroperasi, maka peraturan-peraturan sedia ada yang telah direka untuk kawalan peringkat operasi akan dikuatkuasakan. Itu memang di bawah bidang kuasa jabatan dan untuk kuari selain JAS, jabatan lain terlibat adalah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia," katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan program khusus diadakan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 peringkat negeri antaranya pertandingan kempen pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-Waste) di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah dan premis industri; pertandingan fotografi; kuiz dan pertandingan koleksi karya puisi serta pantun alam sekitar untuk pelajar sekolah seluruh Perak.

Turut diadakan pertandingan Anugerah Khas Ladang Lestari; Anugerah Khas Kuari Lestari; Anugerah Khas Kilang Kelapa Sawit Lestari dan Anugerah Khas Ikon Muda Alam Sekitar.

Maklumat lanjut bagi penyertaan program-program tersebut, boleh menghubungi JAS Perak atau lawati Facebook Jabatan Alam Sekitar.