X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

'Teliti semula kelulusan kegiatan kuari di Perak'

Meor Razak (kanan) menunjukkan kawasan Hutan Segari Melintang yang sebahagian daripadanya sedang dimohon oleh pihak tertentu bagi tujuan lombong kuari ketika sidang akhbar di sini pada Sabtu.
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama tujuh lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar menggesa kerajaan negeri Perak mengkaji semula kelulusan dan ketetapan berkaitan kegiatan pengkuarian di negeri ini.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, antara kawasan yang menjadi perhatian adalah di kawasan Gunung Kanthan dan beberapa gua batu kapur yang merupakan geotapak Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri digesa supaya tidak meluluskan sebarang permohonan pajakan melombong di kawasan Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

"Kerajaan negeri seharusnya tidak meluluskan permohonan menyambung tempoh pajakan atau pemilikan tanah di kawasan kuari-kuari batu kapur yang mempunyai keunikan nilai kepelbagaian hayat di daerah Kinta dan daerah Kampar.

"Tindakan itu penting bagi melindungi spesis endemik flora dan fauna yang terdapat di kawasan gunung terbabit. Selain itu, terdapat juga penemuan seperti lukisan dan fosil ditemui di gua-gua batu kapur yang perlu kajian mendalam," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ulu Chepor di sini pada Sabtu.

Meor Razak berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kerajaan negeri sudahpun meluluskan permohonan menyambung pajakan tanah bagi tujuan pengkuarian di Gunung Kanthan.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan negeri mewarta sekurang-kurangnya satu petak contoh hutan batu kapur sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) dalam kawasan Geopark Kebangsaan Lembah Kinta terutama di Gunung Tempurung dan Gunung Gajah kerana terdapat satu spesies pokok kritikal terancam yang disenaraikan di bawah 'International Union for Conservation of Nature (IUCN) iaitu Hopea bilitonensis.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak SAM turut meluahkan kebimbangan terhadap permohonan baharu untuk membuka kawasan pengkuarian seluas 122 hektar di Hutan Segari Melintang.

"Pihak berkuasa negeri perlu mengambil maklum bahawa Majlis Tanah Negara (MTN) telah membuat ketetapan semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014 supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Dalam pada itu, pihak berkuasa negeri juga perlu mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Siasatan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 telah bersetuju dengan bantahan SAM dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan menolak permohonan kuari yang baru bagi mengekalkan kawasan hutan sedia ada," katanya.

Katanya, sehubungan itu pihak NGO bersepakat menggesa pihak berkuasa negeri mempertimbangkan semula supaya tidak meluluskan lagi dan tidak menjadikan mana-mana kawasan dalam Hutan Simpan Segari Melintang sebagai kuari.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Alam Semulajadi Perak, Uzair Shuhairi menyokong saranan SAM dan beberapa NGO berkaitan alam sekitar itu.

Menurutnya, potensi kawasan gunung batu kapur untuk dijadikan tarikan ekopelancongan sangat besar dan tidak boleh diabaikan.

"Beberapa penemuan fosil dan spesis yang tidak ada di tempat lain mampu membantu sektor pelancongan di negeri ini.

"Kerajaan negeri perlu terus memelihara hampir 40 gunung dan bukit batu kapur di kawasan Lembah Kinta yang mempunyai potensi besar untuk tarikan pelancong," katanya.

NGO yang terlibat dalam termasuklah Kuasa, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Persatuan Jurupandu Geopark Warisan Alam Semula Jadi Perak, Persatuan Pembela Alam Semula Jadi dan Samudera Perak, Pemerhati Lembah Kinta (Kinta Valley Watch), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia (Malaysian Cave and Karst Conservancy) dan Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (Bumi Hijau).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!