Pahang tubuh JONP kukuh kualiti pengurusan integriti

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu.

Menurutnya, JONP mengunapakai model yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan Sarawak yang merupakan perintis kepada penubuhan jawatankuasa itu dalam kalangan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Jawatankuasa itu pertama kali dicadangkan kepada kerajaan negeri Pahang oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) di Jabatan Perdana Menteri tahun lalu.

"Sejak itu, usaha telah dibuat untuk merealisasikannya termasuk melakukan kajian mendalam oleh pegawai Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, JONP yang dipengerusikan Ahli MMK Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak akan berperanan dan bertanggungjawab meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam di negeri ini.

"Ia melibatkan aduan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

"JONP bertanggungjawab melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku tersebut yang memerlukan siasatan terperinci," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa itu akan meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan sebelum membuat keputusan berkaitan salah laku yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang.

Selain itu katanya, JONP juga berperanan mempertimbangkan dan meluluskan sebarang cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri.

"Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri selaku urusetia akan menerima dan melakukan saringan terhadap semua aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP.

"Aduan-aduan yang akan diambil tindakan di bawah JONP melibatkan penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam, kelewatan atau tiada tindakan terhadap sesuatu permohonan di jabatan dan agensi," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, bagi aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang telah dirujuk kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Negeri, mahkamah, MMK Negeri, Lembaga Rayuan Negeri yang diurusetiakan PLANMalaysia@Pahang dan Biro Pengaduan Awam (BPA) bukan lagi dibawah bidang kuasa JONP.

Katanya, melalui penubuhan JONP, sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini diharap dapat dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan.