Pemandu lori tidak mengaku salah memandu bawah pengaruh dadah

Kejadian lori hilang kawalan rempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
Kejadian lori hilang kawalan rempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang tular di media sosial selepas merempuh lima kenderaan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi hingga remuk di Jalan Ipoh Isnin lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Ardi Latif, 25, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, Ardi didakwa sebagai pemandu lori telah memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine yang mana tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.

Ia menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta milik Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi, 45, di Jalan Segambut Utara ke Jalan Ipoh di sini pada jam 2.40 petang, 6 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh ditahan sehingga pelupusan kes.

Pada Isnin lalu, media melaporkan lima kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas sebuah lori hilang kawalan di lampu isyarat di Jalan Ipoh Sentul yang menyebabkan kesemua kenderaan mengalami kerosakan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi remuk dengan teruk.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori rempuh lima kenderaan direman

[VIDEO] Pemandu lori rempuh lima kereta di lampu isyarat