Pemandu lori rempuh lima kenderaan direman

Rempuhan itu melibatkan lima kenderaan di lampu isyarat di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
Rempuhan itu melibatkan lima kenderaan di lampu isyarat di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan enam kenderaan di lampu isyarat di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, perintah tahan reman itu diperoleh bermula hari ini.

“Lelaki berusia 25 tahun itu direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Isnin, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaikinya dirempuh lori berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, terdapat empat lagi kenderaan terlibat kenderaan jenis Myvi serta masing-masing sebuah Proton X70, Honda HRV, Peugeot 208 FL.

Sarifudin memaklumkan siasatan awal mendapati lori dipandu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul itu hilang kawalan di lampu isyarat dan merempuh dengan laju lima buah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Pemandu kenderaan Myvi berwarna kuning cedera ringan di bahagian muka dan mendapat rawatan di zon hijau Hospital Besar Kuala Lumpur.

Pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan kesemua mangsa mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Hasil dari ujian awal alkohol mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol dan seterusnya dibawa ke Ibu pejabat Polis Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing yang mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.