Ah long mengaku salah, didenda RM3,500

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen, 6 September lalu.

Majistret Mahyun Yusof menjatuhi hukuman itu terhadap Lai Tian Shen, 19 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dan tertuduh boleh dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Tian Shen didakwa telah membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan menawarkan pinjaman tanpa suatu kelulusan di kawasan awam.

Kesalahan itu dilakukan di Nilai Square, Bandar Baru Nilai Utama di sini pada jam 2.15 petang, 6 September 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizal Zainul manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rabu lalu, media melaporkan polis Negeri Sembilan menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) di Negeri Sembilan dalam tiga serbuan berasingan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh merupakan salah seorang daripada lima suspek yang ditahan terlibat menjalan aktiviti berkenaan.