Bekas Penolong Penguat kuasa JPJ dipenjara 20 bulan, denda RM80,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Penolong Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dihukum penjara 20 bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima suapan lima tahun lepas.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Hanisham Din, 50, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Hanisham didakwa menerima suapan daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat tersebut yang dikatakan mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 2016.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan lapan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hanisham pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 21 Ogos 2019 dan mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan dan pertuduhan pilihan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam C P Ang. - Bernama

Artikel Berkaitan: