Antara Ahmad Maslan dan Kor Ming

NGA KOR MING, AHMAD MASLAN
NGA KOR MING, AHMAD MASLAN
A
A
A

MESYUARAT pertama penggal keempat sidang Dewan Rakyat tahun ini bakal menjadi persidangan sulung buat kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan sebelum ini dijadualkan pada 6 hingga 30 September namun dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober depan.

Persidangan kali ini menjadi tumpuan rakyat kerana semasa proses pemilihan Perdana Menteri baharu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya keabsahan Perdana Menteri kesembilan ditentukan melalui undi percaya.

Namun, perkara tersebut tidak akan berlaku kerana pada dua hari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa Seri Paduka perkenan agar tiada usul undi percaya terhadap Ismail Sabri.

Menurut Wan Junaidi, pelantikan Ismail Sabri telah dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan usul tersebut tidak sepatutnya dilakukan.

Berdasarkan aturan mesyuarat yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen, usul undi percaya itu juga tidak disenaraikan.

Maka kedudukan Ismail Sabri boleh dikatakan selamat dan ini membolehkan beliau terus menerajui negara dengan agenda utama menjayakan program vaksinasi dan memulihkan pendapatan rakyat serta ekonomi menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perihal keabsahan Perdana Menteri telah selesai dan begitu juga dengan usul mengosongkan jawatan Speaker Dewan Rakyat yang dikemukakan beberapa ahli parlimen pembangkang kerana usul itu tiada dalam aturan mesyuarat minggu depan.

Pemilihan

Namun apa yang menjadi perhatian dalam senarai usul aturan mesyuarat itu adalah pemilihan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada hari kedua persidangan.

Artikel Berkaitan:

Parlimen memperuntukkan dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan salah seorang, Datuk Mohd Rashid Hasnon manakala terdapat satu kekosongan selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berbuat demikian supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih ruang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat supaya ia benar-benar berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti.

Kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kini membuka ruang kepada blok kerajaan dan pembangkang untuk menamakan calon pilihan masing-masing.

Dalam hal mencalonkan nama bagi jawatan tersebut, ia boleh diusulkan mana-mana ahli Parlimen, namun perlu dilakukan dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Setakat ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan.

UMNO sudah pasti mahu jawatan itu kekal milik parti mereka bagi menggantikan Azalina, walaupun terdapat desakan supaya calon daripada pembangkang dipertimbangkan.

Pencalonan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO, dijangka menimbulkan pertikaian sesetengah pihak kerana beliau adalah antara pemimpin dalam kluster mahkamah.

Pas selaku komponen kerajaan hari ini juga sepatutnya diberikan peluang untuk jawatan tersebut. Begitu juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ataupun individu daripada golongan profesional.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula mengesahkan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk mengisi jawatan tersebut. Kor Ming merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika PH mentadbir negara.

Blok bebas membabitkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) belum mendedahkan siapa calon pilihan mereka atau tidak menghantar sebarang pencalonan.

Meskipun pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat lebih bersifat sokongan peribadi namun penamaan calon dari pihak mana itu bakal menjadi sentimen politik.

* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah wartawan Sinar Harian