'Hasrat mahu pulang jaga bapa sakit tidak kesampaian'

Status yang dimuat naik arwah di media sosial sehari sebelum meninggal dunia awal pagi Ahad.
Status yang dimuat naik arwah di media sosial sehari sebelum meninggal dunia awal pagi Ahad.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Jurutera kimia yang ditemukan meninggal dunia selepas insiden di masjid berdekatan rumah sewanya di Taman Scientex Pasir Gudang, Johor Bahru pada Ahad lalu pernah menyuarakan hasrat ingin pulang ke kampung halamannya di Taman Seri Sentosa, Kuala Berang, di sini untuk menjaga bapanya yang sakit.

Kakaknya, Siti Ayu Megawati Mohd Said, 33, berkata, hasrat arwah adiknya, Muhammad Sufian Mohd Said, 28, tidak kesampaian memandangkan terdapat beberapa dokumen berkaitan urusan rentas negeri yang masih belum selesai.

Menurutnya, arwah yang merupakan adik bongsu daripada tiga beradik itu beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung untuk menjaga bapa mereka, Mohd Said Nang, 67, yang kini menghidapi penyakit lelah.

"Saya meminta dia supaya dia bersabar kerana proses untuk rentas negeri memakan masa kerana perlu sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

"Tak sangka pula pengakhirannya begini. Saya kesal kerana tidak sempat tunai hasrat arwah pulang ke kampung untuk bertemu ayah, yang pulang hanya jasadnya," katanya.

Menurut Siti Ayu Megawati, kali terakhir adiknya pulang ke kampung halaman enam bulan lalu ekoran kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan peningkatan kes Covid-19.

"Sebelum itu, setiap bulan adik saya akan balik ke rumah dan akan membuat panggilan video bersama kami sekeluarga hampir saban hari.

"Namun, dua minggu sebelum tragedi ini dia menunjukkan perubahan sikap yang mendadak ketika bersama kami adik beradik dan bersama rakan-rakannya.

Artikel Berkaitan:

"Dia seolah-olah dah tahu akan 'pergi' kerana tak putus-putus memberi nasihat dan meminta supaya kami semua utamakan keluarga. Melalui panggilan video itu arwah juga menunjukkan rasa gembira seperti tidak puas berbual bersama-sama," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka insiden itu berlaku kerana arwah adiknya seorang anak yang baik dan tidak pernah mengasari sesiapa.

"Setakat yang saya tahu, arwah adik memang seorang anak yang baik dan tidak pernah sekali pun berkelakuan kasar baik kepada kami atau rakan-rakannya.

"Dia amat disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan. Dia lebih banyak memberi dan suka membantu adik beradik dan rakan-rakan yang dalam kesusahan," ujarnya ketika ditemui di Taman Sentosa, di sini, pada Rabu.

Menurut Siti Ayu Megawati, mereka sekeluarga juga tidak menyangka arwah adiknya meninggal dunia pada tarikh sama dengan arwah ibunya, Siti Rohani Abd Rahman yang meninggal dunia pada tahun 2003.

"Arwah sempat memuat naik status terakhir gambar kubur arwah ibu sehari sebelum dia meninggal dunia.

"Dia juga sempat menitipkan rasa rindu terhadap arwah mak dan memuat naik kata-kata terakhir buat kami supaya tidak mengabaikan dan sentiasa menjaga keluarga melalui status tersebut," katanya.

Siti Ayu Megawati berkata, walaupun terkilan dengan insiden yang berlaku, mereka sekeluarga pasrah dan reda dengan pemergian arwah.

Katanya, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kudat, di sini jam 9 malam pada Selasa.

Media sebelum itu melaporkan seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati, pada malam sebelumnya lelaki berkenaan dikatakan bertindak menumbuk pintu kaca Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya selepas mendapati pintu masjid itu ditutup selepas Isyak.