Krisis PKR Negeri: Lahar terpendam kini meletup

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SUHU politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan tiba-tiba panas apabila beberapa kepimpinan parti itu sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri itu, yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut dikaitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.

Bagaimanapun menerusi kenyataan media bersama dikeluarkan oleh empat ADUN berkenaan, mereka mendakwa ramai pendokong PKR tidak berpuas hati dengan prestasi Aminuddin selaku Pengerusi MPN.

Jelas mereka, isu itu lebih kepada masalah dalaman parti dan mereka menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Kenyataan itu memperlihatkan yang masing-masing memilih untuk play safe, tidak mahu terlalu lantang, sedangkan Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusof Tapar telah mengesahkan kesemua ADUN itu telah pun menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menolak Aminuddin.

Sebenarnya ketidakpuasan hati terhadap Aminuddin bukanlah perkara baharu dan ia bermula dari awal pelantikannya sebagai Menteri Besar lagi selepas kredibilitinya sebagai pemimpin utama Negeri Sembilan dipertikaikan selain kerap dibandingkan dengan Mohamad Rafie.

Namun isu itu, lama-kelamaan telah reda, ditambah pula dengan keadaan Pakatan Harapan(PH) yang pertama kali menawan Negeri Sembilan, tentunya perlu memberi fokus kepada soal pentadbiran, bukan lagi soal siapa calon MB terbaik.

Bagaimanapun suasana yang dilihat tenang itu difahamkan kembali berkocak pada awal tahun ini apabila dalam kalangan kepimpinan PKR termasuk Ketua Cabang dan sayap parti merasakan yang Aminuddin tidak lagi mampu menerajui MPN sekali gus PKR negeri. Khabarnya, mereka termasuk ahli parti mahu sesuatu dilakukan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. Mereka bimbang jika Aminuddin tidak ditukar, PH akan hilang Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Apa yang berlaku ini memperlihatkan yang kredibiliti Aminuddin bukan saja dipersoalkan sebagai Menteri Besar tetapi juga untuk menerajui parti. Selain itu, difahamkan mesyuarat yang sepatutnya lebih kerap diadakan bersama MPN bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit dalaman parti juga didakwa jarang diadakan menyebabkan banyak yang tertangguh sehingga masing-masing sudah putus asa.

Tidak peliklah dalam memorandum menolak kepimpinan Aminuddin, antara sebab dinyatakan ialah beliau tidak menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan parti PKR dominan dalam kerajaan negeri selain tidak membuat perancangan bersifat holistik terhadap perkembangan parti.

Selain itu beliau turut didakwa gagal mengurus masalah cabang sehingga gagal memberikan solusi terbaik dalam menyelesaikan masalah di cabang sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti.

Menurut sumber dalaman parti, Aminuddin dilihat cuba mengelak untuk mengadakan mesyuarat dan kali terakhir diadakan adalah pada bulan Mei lalu.

Sumber itu mendakwa jika Aminuddin mengikut saranan Presiden parti supaya mengadakan mesyuarat secara berkala setiap bulan banyak masalah dalaman parti dapat diselesaikan.

Hakikatnya pergolakan yang berlaku ini adalah soal parti, soal pengerusi MPN dan soal pengerusi PKR, bukannya soal Menteri Besar.

Tidak pelik apabila Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengesahkan yang beliau tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana ADUN yang menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dalam Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang ke-14 pada Isnin kerana itu melibatkan jawatan dalam kerajaan negeri, bukannya parti.

Apa pun cerita pergolakan rumah tangga dalam parti itu adalah perkara biasa. Soalnya sama ada mahu memilih kesetiaan kepada parti atau kepada siapa yang memimpin parti.

* Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan