El Salvador negara pertama di dunia terima bitcoin

Gambar fail menunjukkan sebuah kedai menerima mata wang Bitcoin di San Salvador pada 1 September lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kedai menerima mata wang Bitcoin di San Salvador pada 1 September lalu. - Foto AFP
A
A
A

SAN SALVADOR - El Salvador mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di dunia menerima bitcoin sebagai mata wang yang sah dalam semua urusan perniagaan dan perkhidmatan mulai Selasa.

Menurut kerajaan pimpinan Presiden negara itu, Nayib Bukele, langkah itu akan membolehkan penduduknya mengakses perkhidmatan bank untuk pertama kali dan dapat menjimatkan kira-kira AS$400 juta (RM1.6 bilion) dalam bentuk yuran kiriman wang ke El Salvador.

Pada Isnin, beliau mengumumkan negara itu telah membeli 400 bitcoin iaitu satu tindakan yang pertama kali dibuat oleh kerajaan manakala baki 200 bitcoin lagi akan tiba tidak lama lagi.

Menurut aplikasi pertukaran wang kripto, 400 bitcoin itu bernilai kira-kira AS$21 juta (RM87 juta).

Pada Jun lalu, Parlimen negara itu meluluskan rang undang-undang bagi membenarkan wang kripto diterima sebagai mata wang sah untuk semua perkhidmatan dan barangan.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat menunjukkan majoriti daripada 6.5 juta penduduk negara tersebut menolak idea penggunaan bitcoin dan akan terus menggunakan wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurut seorang penduduk, Jose Santos Melara, mata wang bitcoin tidak pernah wujud dan ia tidak akan hanya memanfaatkan golongan miskin tetapi juga mereka yang sudah kaya.

Dalam pada itu, kerajaan sedang memasang mesin pengeluaran wang bitcoin yang sebahagiannya dikawal oleh askar-askar bagi mengelak para penentang membakar mesin tersebut.

Artikel Berkaitan:

Presiden negara itu juga menawarkan AS$30 (RM124) terhadap sesiapa yang bersetuju untuk menerima mata wang tersebut. - Agensi