Lelaki mengamuk, ancam letup gas LPG ditahan

Anggota Bomba dan Penyelamat memasang tangga di tingkat satu rumah kedai berkenaan untuk membantu polis memberkas suspek.
Anggota Bomba dan Penyelamat memasang tangga di tingkat satu rumah kedai berkenaan untuk membantu polis memberkas suspek.
A
A
A

SEMENYIH - Seorang lelaki disyaki kurang siuman mengamuk dan mengugut memotong saluran tong gas petroleum cecair (LPG) dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Semenyih Sentral 1 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya pergi ke lokasi berkenaan jam 4.05 petang bagi mengesan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai terbabit dengan satu kes ugutan jenayah pada 28 Ogos lalu.

"Lelaki itu mengamuk dengan membaling dan memecahkan barang di dalam rumah. Suspek juga cuba memotong salur getah tong gas yang diletakkannya di hadapan pintu rumah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohd Zaid berkata, suspek turut mengunci pintu jeriji rumah berkenaan kerana tidak mahu memberi kerjasama kepada polis selain memecahkan cermin kaca dalam rumahnya.

"Kita telah meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang tiba 4.45 petang bagi membantu memberkas suspek kerana lelaki berkenaan gagal dipujuk dengan cara baik.

"Kita dapat memasuki rumah suspek dan berjaya menahannya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Keseksaan," katanya.

Pada 28 Ogos lalu, polis telah menerima laporan berkenaan kes seorang lelaki yang tidak dikenali memegang parang dan cuba masuk ke dalam tempat pengadu bekerja di sebuah syarikat penghantaran barang.

Mohd Zaid berkata, suspek turut mengugut akan mencederakan sesiapa yang mahu melawannya.

Artikel Berkaitan:

"Pengadu telah menghubungi polis ketika itu, tetapi suspek telah melarikan diri setelah polis tiba di lokasi," katanya.

Mohd Zaid berkata, suspek sudah berkahwin itu mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod penyalahgunaan dadah.

"Semakan mendapati suspek berkenaan terbabit dalam dua lagi kes lain yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2 September lalu dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 29 Ogos lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih Mohammad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk di premis berkenaan dan mengancam mahu meletupkan gas LPG," katanya.

Mohammad Darul berkata, pihaknya memasang tangga di tingkat satu rumah kedai berkenaan dan membuka pintu jeriji menggunakan pemotong.

"Lelaki itu berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.