Pondan ugut lepaskan gas sarin ditahan

Miyuki Yamamoto ditahan polis kerana mengeluarkan ancaman gas sarin. - Foto Agensi
Miyuki Yamamoto ditahan polis kerana mengeluarkan ancaman gas sarin. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Polis Jepun menahan seorang pondan selepas dia mengeluarkan ugutan mahu melancarkan serangan gas sarin di sebuah stesen kereta api bawah tanah di wilayah Chiba.

Miyuki Yamamoto memuat naik ancaman itu di Twitter pada 30 Oktober lalu dengan menjadikan Stesen Funabashi sebagai sasaran.

Menurut polis, lelaki berperwatakan wanita berusia 25 tahun itu menyiarkan ancaman tersebut sekitar jam 11.30 pagi (waktu tempatan).

Kyodo News melaporkan bahawa ancaman tersebut berbunyi: "Tepat jam 1 petang hari ini, saya akan menyembur Stesen Funabashi dengan gas saraf sarin. Saya adalah Shoko Asahara (ketua ajaran sesat Aum Shinrikyo) dari Era Reiwa. Ini bukan gertakan."

Polis dimaklumkan mengenai ancaman itu oleh pengguna Twitter yang membaca ciapan tersebut.

Serentak itu, berpuluh-puluh pegawai dikerah ke Stesen Funabashi sebagai langkah berjaga-jaga.

Difahamkan, Yamamoto yang juga seorang penganggur tewas dalam Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di bandar Funabashi yang diadakan pada pertengahan bulan lalu.

Pada 20 Mac 1995, Jepun digemparkan dengan serangan gas sarin di stesen kereta api bawah tanah Kasumigaseki di Tokyo oleh anggota ajaran sesat Aum Shinrikyo diketuai Shoko Asahara.

Serangan tersebut meragut 13 nyawa dan ratusan lagi mengalami sesak nafas.

Asahara atau nama sebenarnya Chizuo Matsumoto dan 12 pengikutnya menjalani hukuman mati pada Julai 2018 selepas disabit bersalah mendalangi serangan tersebut. - Agensi