X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

HSKLU: CPSF gesa PKPS dikenakan tindakan undang-undang

A
A

SHAH ALAM - Gabungan Perlindungan Hutan Selangor (CPSF) menggesa agar tindakan undang-undang diambil terhadap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berikutan melakukan pembersihan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) tanpa mendapat kelulusan sewajarnya.

Menerusi satu kenyataan, CPSF berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam sebaran media pada 15 April lalu turut mengesahkan PKPS tidak menyerahkan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi pelaksanaan Projek Selangor Smart Agro Park (SSAP) di hutan berkenaan.

Katanya, walaupun arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh JAS pada 8 April lalu, namun PKPS masih dikesan meneruskan pembersihan HSKLU sehingga Mei lalu berdasarkan analisis menerusi satelit oleh CPSF.

"CPSF juga percaya ini adalah kali kedua HSKLU dimusnahkan oleh PKPS kerana pada tahun 2014 lalu, tindakan sama pernah dilakukan di kawasan seluas 50 hektar di sana bagi perancangan pembangunan kawasan perladangan kelapa sawit.

"Berikutan itu, CPSF menggesa tindakan undang-undang ke atas PKPS kerana melakukan pembersihan HSKLU tanpa menyerahkan EIA kepada JAS," kata kenyataan itu pada Ahad.

Menerusi kenyataan sama, CPSF turut menggesa kerajaan negeri agar membatalkan segera penyawartaan HSKLU dan mengembalikannya kepada ukuran asal.

"Kerajaan negeri juga telah memberi maklumat palsu apabila mengatakan tiada pokok tinggi di lokasi yang terlibat dengan penyahwartaan tersebut," katanya.

Tambahnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengadakan lawatan ke lokasi terlibat bersama-sama CPSF dan orang asli setempat bagi melihat lebih dekat keadaan lokasi terlibat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian sewaktu sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini telah memberitahu Dewan bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan penyahwartaan HSKLU membabitkan kawasan seluas 536.7 hektar selepas mendapat bantahan komuniti.

Berikutan itu, isu penyahwartaan HSKLU itu telah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Amirudin memberikan penjelasan kepada parti berhubung keputusan berkenaan menerusi pertemuan pada Rabu lepas.

Selepas pertemuan berkenaan, Amirudin juga memberi jaminan akan menangguhkan terlebih dahulu proses penyahwartaan berkenaan sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan semua isu berbangkit.-end-


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!