X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Muhd Nazmie dinobat johan pidato kenegaraan

Wakil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhd Nazmie Muhd Nasir dinobatkan johan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu.
A
A

SHAH ALAM - Wakil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhd Nazmie Muhd Nasir dinobatkan sebagai johan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu, sekali gus mengetepikan cabaran lima peserta lain.

Muhd Nazmie yang menyampaikan pidato bertajuk ‘Dasar Perpaduan Negara (DPN): Membawa Identiti Nasional’ berjaya membawa pulang wang tunai utama berjumlah RM3,000 berserta sebuah piala pusingan, plak dan sijil.

Naib johan pula dimenangi peserta dari Melaka, Mohd Amiruddin Md Nor yang membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta plak dan sijil, manakala tempat ketiga dimenangi Ainun Nasibah Johar dari Sabah.

Mohd Amiruddin (kiri) memenangi tempat kedua manakala Ainun Nasibah tempat ketiga Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu.
Mohd Amiruddin (kiri) memenangi tempat kedua manakala Ainun Nasibah tempat ketiga Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang mula diperkenalkan pada tahun 2000 itu juga menyaksikan ‘Kita Malaysia Bangkit Bersama’ diangkat sebagai tema tahun ini.

Pada tahun ini juga, pertandingan diadakan secara maya susulan pandemik Covid-19 dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi Facebook dan YouTube Jabatan Penerangan Malaysia serta Merdeka360 yang merupakan media sosial rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

Pertandingan tahun ini berkonsepkan TED Talk iaitu singkatan daripada Technology, Entertainment and Design yang merupakan cara penyampaian maklumat menggunakan elemen teknologi, hiburan dan rekaan dalam menyampaikan mesej kepada penonton secara santai dengan membawa mesej kenegaraan serta memasarkan dasar-dasar kerajaan semasa.

Ia juga selari dengan aspirasi ‘JaPen Kini Digital’ yang matlamatnya adalah untuk memperkasakan penggunaan teknologi dalam penyebaran dan penyampaian maklumat secara strategik serta pembudayaan norma baharu dalam setiap aktiviti dan pendekatan yang melibatkan masyarakat keseluruhannya.

Selaras dengan perkembangan tersebut, kaedah penjurian tahun ini juga telah disesuaikan dengan fenomena semasa pertandingan iaitu 80 peratus penjurian adalah terdiri daripada juri profesional dan 20 peratus lagi daripada undian penonton.

Pelancaran album patriotik Nafas Merdeka.
Pelancaran album patriotik Nafas Merdeka.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek ketika menyampaikan ucapan perasmian secara maya berkata, perkembangan pesat teknologi telah mengubah cara rakyat berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain termasuklah cara berpidato.

“Kaedah berpidato secara konvensional yang menyaksikan seorang pemidato berhujah, manakala orang lain sekadar mendengar tidak lagi menjadi pendekatan yang menarik perhatian atau berkesan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, ia menuntut kesediaan kita untuk mengadaptasi, mengasimilasi dan menyeragamkan perkembangan pesat teknologi tersebut mengikut kepentingan semasa, tambahan pula ketika seluruh dunia dilanda wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, konsep TED Talk yang popular dalam kalangan pemikir dan cendekiawan dari negara-negara maju telah diaplikasikan pada format pertandingan yang dianjurkan kali kedua tahun ini sebagai suatu pendekatan baharu untuk menyampaikan mesej kepada kumpulan khalayak sasaran.

“Penggabungan media interaktif dalam persembahan TED Talk berupaya menarik kumpulan sasaran untuk mendengar dan terus mengikuti idea yang dipersembahkan.

“Syabas saya ucapkan kepada Jabatan Penerangan Malaysia atas inovasi ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.JaPen lancar album patriotik Nafas Merdeka

Sementara itu, Jabatan Penerangan Malaysia melalui Cawangan PENTARAMA akan melancarkan album patriotik Nafas Merdeka yang mengandungi enam buah lagu sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Peserta mempamerkan kehebatan berpidato secara maya.
Peserta mempamerkan kehebatan berpidato secara maya.

Enam lagu itu ialah Demi Negara, Anak Merdeka, Warga Merdeka, Jiwa Merdeka, Bersatulah Kita Maju dan Bersatulah Kita Maju (Koir).

Penerbitan lagu baharu patriotik itu juga dihasilkan bagi memastikan kelestarian lagu genre patriotisme kekal subur dan relevan dalam mempengaruhi masyarakat masa kini.

Selain itu, ia bertujuan untuk terus menyemai dan meningkatkan rasa cinta rakyat kepada negara memandangkan mesej, lirik dan muzik yang efektif dilihat mampu menarik perhatian pendengar serta menyampaikan kandungan maklumat dengan lebih berkesan.

Penerbitan lagu dan video muzik daripada enam hasil ciptaan itu juga bakal menjadi salah satu nilai tambah kepada inisiatif jabatan berkenaan dalam memasarkan maklumat, kempen dan mesej kerajaan.

Lagu patriotik Nafas Merdeka boleh dimuat turun secara percuma menerusi portal www.merdeka360.my.

Orang ramai juga boleh menonton muzik video lirik rasmi lagu-lagu patriotik album Nafas Merdeka di saluran YouTube Pentarama dan JaPen TV.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!