X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Malaysia mohon maaf kepada Ukraine

Megat D Shahriman
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin mengemukakan permohonan maaf kepada Ukraine atas insiden kecaman terhadap atlet negara itu Maksym Koval, iaitu pemenang emas acara lontar peluru F20.

Megat D Shahriman berkata beliau mengemukakan permohonan maaf itu mewakili seluruh rakyat Malaysia ketika pertemuan dengan CDM Ukraine Olena Zaitseva, yang juga Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Ukraine di sini, pada Sabtu.

Beliau turut menjelaskan kepada Zaitseva bahawa reaksi negatif daripada segelintir individu berpunca akibat kekecewaan terhadap keputusan yang tidak menyebelahi Muhammad Ziyad Zolkefli, lebih-lebih lagi insiden itu berlaku ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos lepas.

“Saya mengakui bahawa saya turut terkilan apabila mendapat keputusan penyertaan Ziyad (Muhammad Ziyad) dibatalkan kerana kesilapan teknikal. Saya percaya insiden ini telah memberi pengajaran bukan sahaja kepada saya, bahkan kepada seluruh penggiat sukan bahawasanya masa itu adalah emas, dan masa juga boleh menyebabkan kita kehilangan pingat emas yang sangat berharga.

“Dalam pertemuan singkat itu, saya yang ditemani Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) (Datuk R. Subramaniam) telah berhubung dengan CDM Ukraine bagi meleraikan kekusutan termasuk berjanji untuk mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Ukraine.

“Zaitseva turut memberi jaminan bahawa akan menyampaikan mesej permohonan maaf daripada kita buat seluruh rakyat Ukraine. Beliau mengakui kerajaan Ukraine turut kesal dengan insiden yang terjadi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut berharap semua pihak dapat mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi dan hubungan baik secara profesional, dan menjadikan insiden itu sebagai pengajaran supaya tidak berulang di masa depan.

Bantahan daripada kem Ukraine kerana lewat memasuki bilik menunggu (call room) menyebabkan Muhammad Ziyad tidak dapat mempertahankan emas acara itu, walaupun berjaya melakukan lontaran rekod dunia dengan catatan 17.94m.

Keputusannya yang diklasifikasikan sebagai “Did Not Start (DNS)” atau tidak memulakan saingan, menyebabkan rekod tersebut juga tidak diiktiraf. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!