Pasukan khas kaji keselamatan di lokasi tanah runtuh

Takiyuddin (tiga dari kiri) meninjau kesan tragedi kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun di Gunung Jerai, Yan pada Sabtu.
Takiyuddin (tiga dari kiri) meninjau kesan tragedi kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun di Gunung Jerai, Yan pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Satu pasukan khas yang menghimpunkan pakar-pakar tertentu daripada beberapa agensi dan kementerian akan diwujudkan untuk mengkaji keselamatan di lokasi kejadian tanah runtuh di seluruh negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau yakin langkah itu akan diberikan pertimbangan oleh kerajaan supaya kejadian seperti tragedi kepala air di Gunung Jerai yang menyaksikan enam terkorban tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata, antara agensi-agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang boleh digerakkan ialah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

"Langkah kerjasama ini boleh dilakukan bersama jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

"Saya akan mencadangkan perkara tersebut ke kabinet supaya kementerian-kementerian ini akan bertindak secara bersepadu.

"Kita berharap cara ini akan menjadi satu penyelesaian terbaik di samping peruntukan yang diberikan kerajaan akan dapat digunakan pada tahap maksimum," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja di lokasi bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya akan memberikan tempoh kepada agensi-agensi di bawah KeTSA agar proses pemulihan dan penambah baikan di kawasan terjejas dapat disiapkan selewat-lewatnya pada Disember ini.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk membaiki infrastruktur dan kawasan terlibat dan lebih separuh diperuntukkan kepada JPS.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, KeTSA bercadang untuk membangunkan satu sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai bagi memastikan keselamatan pengunjung dan penduduk sekitar terjamin.

Jelasnya, terdapat pelbagai sistem amaran awal dan ia sebagai langkah berjaga-jaga kepada penduduk setempat seperti yang diamalkan di luar negara.

"Sistem amaran awal ini ada pelbagai jenis dan antaranya yang telah diletakkan ialah tolok hujan bagi mengetahui kuantiti hujan.

"Kita mahu mewujudkan kesedaran kepada penduduk di kawasan ini bahawa apabila ada petanda seperti hujan lebat, mereka boleh mengambil langkah lebih awal untuk berjaga. Kawasan-kawasan berbahaya juga akan ditandakan," jelas beliau.