Pulau Pinang mohon bantuan kerajaan untuk program PSC-19, MOVAK

Pulau Pinang memohon bantuan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan program saringan dan vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. - Foto fail Bernama
Pulau Pinang memohon bantuan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan program saringan dan vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. - Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang memohon bantuan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan program saringan dan vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi jawatankuasa Prumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, program saringan “Penang Saringan Covid-19” (PSC-19) dan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) telah menunjukkan respons positif dalam kalangan penduduk negeri ketika ini.

Beliau berkata, program PSC-19 yang disasar untuk memberikan saringan percuma Covid-19 kepada 40,000 penduduk tempatan telah menerima pendaftaran lebih 46,875 penduduk.

“Apabila program MOVAK khusus bagi peniaga kecil dan penjaja di Pulau Pinang berakhir semalam, kita telah menerima 17,340 pendaftaran, namun kita hanya ada peruntukan untuk mevaksin 11,000 daripada mereka,” katanya dalam persidangan media di pasar Batu Lanchang di sini pada Jumaat.

Jagdeep berkata, kerajaan Persekutuan akan dapat memberikan sokongan infrastruktur seperti pusat vaksinasi, serta sumber yang diperlukan bagi kerajaan negeri melaksanakan program PSC-19 dan MOVAK.

“Susulan kejayaan cemerlang kedua-dua program ini di Pulau Pinang, kita harap kerajaan persekutuan akan terus membantu kita menjayakan sasaran untuk mevaksin semua penduduk dewasa di Pulau Pinang pertengahan bulan ini,” katanya.

Pada 1 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan untuk memberikan sokongan dari segi bekalan vaksinasi dan sumber manusia kepada Pulau Pinang dan empat lagi negeri, susulan peningkatan jumlah kes positif di negeri berkenaan.

Selain Pulau Pinang, kerajaan Persekutuan juga menyasarkan tumpuan kepada usaha membantu negeri Sabah, Johor, Kedah dn Kelantan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Jagdeep dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang menyaksikan penutupan sementara pasar Batu Lanchang atas arahan Jabatan Kesihatan selepas empat kes positif Covid-19 dikesan di premis berkenaan.

Tung Seang berkata, ini merupakan kali kedua pasar itu diarah tutup disebabkan Covid-19, dengan kali pertama pada 29 Januari lalu.

“Ia kemudiannya dibuka kembali pada 17 Ogos lalu,” katanya dan menambah penutupan pada Jumaat akan menjejaskan 180 peniaga dan penjaja. - Bernama