1.9 juta dos vaksin bantu Johor beralih ke Fasa 2 PPN

Hasni (tiga dari kiri) melihat komputer riba pada Majlis Penyerahan Komputer Riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini pada Khamis.
Hasni (tiga dari kiri) melihat komputer riba pada Majlis Penyerahan Komputer Riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ini selepas menerima 1.9 juta vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, penerimaan vaksin itu membolehkan kadar individu yang menerima lengkap dua dos mencapai 50 peratus menjelang hujung bulan ini.

Beliau berkata, ketika ini kadar individu yang menerima satu dos di Johor dianggarkan lebih 70 peratus.

"Sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 akan diterima Johor pada bulan ini. Kita menjangkakan boleh mencapai 100 peratus dos pertama pada hujung September sekali gus membolehkan kita lengkap pemberian vaksin dos kedua pada Oktober.

"Jadi dalam minggu ini Johor sudah boleh beralih kepada fasa dua. Bagaimanapun kita berdepan sedikit cabaran terhadap individu yang lewat menerima maklumat di MySejahtera.

"Justeru kita akan menggunakan pelbagai kaedah sama ada dalam bentuk 'walk in' Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) atau PPV bergerak untuk proses pemberian vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan kerja dan menyerahkan komputer riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini pada Khamis.

Sebanyak 8,000 komputer riba diagihkan kepada sekolah di negeri, bagi kegunaan pelajar dalam kategori B40 yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Ransangan Ekonomi Ehsan 3.0, melibatkan peruntukan RM25 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni menggesa golongan yang enggan dan masih belum bersedia menerima vaksin agar bersedia untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan lebih kerap.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, negeri berkenaan membabitkan Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.