Tak pernah anaktirikan Perlis: Mohammadin Ketapi

Mohammadin Ketapi
Mohammadin Ketapi
A
A
A

KANGAR - Perlis tidak dianaktiri malah dilayan sama seperti negeri lain yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam soal peruntukan untuk sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurut beliau, apa sahaja program yang dirancang untuk dilaksanakan mengambil kira pulangan atau keuntungan kepada negara, bukan berdasarkan negeri itu diperintah oleh Kerajaan Pusat semata-mata.

“Kita (Kerajaan Pusat) tidak pernah fikir negeri yang diperintah pembangkang adalah bukan sebahagian Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pesta Angin Timur (PAT) 2019 di sini, hari ini.

Mohamaddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bersama-sama merasmikan pesta itu di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini yang bermula semalam dan akan berakhir esok.

PAT adalah antara sembilan program pelancongan budaya yang akan diadakan di sembilan lokasi bertujuan menyerlahkan keunikan seni budaya setempat sebagai produk pelancongan.

“Kami di peringkat kementerian akan berusaha mencapai hasrat itu,” katanya dengan menambah PAT 2019 turut memberi kesan dalam melestarikan industri pelancongan, budaya serta menyemai kecintaan generasi masa kini terhadap budaya dan warisan bangsa.

Mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020, beliau berkata, Malaysia yang menyasarkan kedatangan 36 juta pelancong dan pendapatan sebanyak RM168 bilion sedang giat mempromosi kempen itu ke seluruh dunia.

Semasa berucap pada majlis itu, Azlan berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi peruntukan lebih kepada Perlis bagi menganjurkan aktiviti pelancongan yang memberi impak kepada industri pelancongan negara.

Artikel Berkaitan:

PAT adalah antara tiga acara utama dalam kalendar pelancongan negeri yang mendapat sambutan menggalakkan di samping Perlis Marathon pada 24 April ini dan Pesta Air Kuala Perlis pada pertengahan tahun ini.

Jumlah pengunjung PAT meningkat setiap tahun iaitu lebih 113,000 pada tahun lepas berbanding lebih 108,000 pada 2017.

Menurut menteri besar itu lagi, jumlah kehadiran pelancong ke Padang Besar turut meningkat dengan mendadak dan merekodkan 1.8 juta orang pada tahun lepas. - Bernama