Penyahwartaan HSKLU ditangguh hingga isu berbangkit selesai

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan ditangguhkan sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan itu dalam mesyuarat biro politik yang diadakan pada malam Rabu.

Menurutnya, biro politik telah menerima pandangan dan penjelasan daripada Amirudin serta Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berhubung isu penyahwartaan HSKLU.

"Biro politik telah menegaskan bahawa keputusan perlu berpegang kepada beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar, urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik.

"Kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimumkan. Ini termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memaklumkan MMKN Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Pemakluman menerusi sidang Dewan Undangan Negeri itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan NGO pencinta alam sekitar yang mempertikai dan membantah keputusan itu.

Dalam pada itu Fahmi berkata, mesyuarat sama juga telah membangkitkan isu cadangan pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) iaitu kerajaaan negeri hanya terlibat berkaitan isu kelulusan tanah.

Artikel Berkaitan:

"Amirudin telah menjelaskan bahawa PJD Link merupakan cadangan semula pihak swasta bagi menggantikan projek yang sebelum ini dikenali sebagai Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) iaitu sebuah projek Kerajaan Persekutuan.

"Beliau juga telah menjelaskan bahawa pihak PJD Link harus melaksanakan perundingan awam bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkaitan isu-isu teknikal dan kesan-kesan sosial yang mungkin timbul daripada projek ini," katanya.

Amirudin kata beliau, turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri belum memberi apa-apa kelulusan berhubung PJD Link.

"Pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh dan harus kembali kepada kerajaan negeri untuk proses-proses seterusnya," jelas beliau.