Guna peruntukan perlembagaan selesai nyah warta HSKKLU

Shahril, Laporan Sinar Harian pada Selasa
Shahril, Laporan Sinar Harian pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbang menggunakan peruntukan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil hak milik kawasan yang telah dinyahwarta seperti yang berlaku di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, langkah drastik itu boleh dipertimbangkan sebelum kerajaan negeri melaksanakan pindah milik kepada mana-mana syarikat atau entiti.

"Saya sedar cadangan ini bersifat agresif dan sewajarnya menjadi langkah terakhir andai kata segala desakan masih gagal," katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya bertanggungjawab untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan kerajaan negeri dalam isu penyahwartaan 536.7 hektar HSKKLU, tetapi kawasan terbabit merupakan aset amat berharga atas faktor warisan dan masa depan.

"Jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dalam Dewan (Undangan Negeri Selangor), mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi.

"Nampak gayanya, bising (bantahan) macam mana pun, MB (Menteri Besar) dan Exconya masih hendak teruskan," ujar beliau.

Shahril berkata, penduduk di Kampung Orang Asli Busut Baru yang ditemui beliau pada Selasa melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan berkenaan.

"Keputusan ini amat tidak masuk akal kerana HSKKLU merupakan kawasan paya gambut, tanah adat Orang Asli suku Temuan yang telah menduduki sekitar HSKKLU sejak abad ke 19 selain menjadi habitat untuk spesies terancam yang berusia 8,000 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tegas beliau, usul yang diluluskan di DUN Selangor pada November 2020 bersetuju menolak penyahwartaan dan apa-apa bentuk pembangunan HSKKLU.

"Pendengaran awam yang diadakan pada September tahun lau juga mendapat bantahan daripada ramai pihak.

"Ini tidak termasuk puluhan ribu mesej bantahan dan petisyen menolak perkara sama," katanya.

Malah, tegas beliau, laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tiga minggu lalu memberi isyarat jelas bahawa krisis iklim sudah sampai ke ambang kritikal kerana pelbagai musibah dijangka berlaku jika langkah-langkah drastik tidak dilaksana segera.

"Paya gambut merupakan antara takungan semula jadi karbon. Pemusnahan HSKKLU demi keuntungan dan pembangunan yang tidak diperlukan merupakan satu langkah tidak masuk akal," katanya.

Justeru beliau mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang melanggar segala suara dan bantahan mengenai perkara itu.

"Adakah tindakan ini dilakukan disebabkan rizab kerajaan negeri (Selangor) semakin berkurang setiap tahun daripada RM3.2 bilion pada tahun 2016 jatuh ke RM2.1 bilion pada tahun 2019?

"Apa pun sebabnya, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari wajar membatalkan penyahwartaan segera.

"Kita tunggu penjelasan, tetapi saya tidak dapat bayangkan apa penjelasan yang boleh menjustifikasi penyahwartaan" tegas beliau.