Kedah cadang buka Langkawi 16 September

Muhammad Sanusi memantau Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh pada Selasa.
Muhammad Sanusi memantau Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh pada Selasa.
A
A
A

YAN - Kedah berhasrat membuka aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi pada 16 September depan berikutan kes aktif Covid-19 yang masih tinggi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan Pulau Legenda itu akan diputuskan selepas mengambil kira laporan penuh yang akan dikemukakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Menurutnya, menerusi satu mesyuarat khas bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pihaknya telah memohon nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan JKN untuk memberi panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti pelancongan.

"Tarikh pembukaan Langkawi bergantung sepenuhnya kepada laporan kemajuan yang akan disediakan oleh JKN, alangkah baiknya jika Langkawi dapat buka 16 September ini iaitu pada Hari Malaysia, ia tentu hari yang baik untuk mulakan gelembung pelancongan," katanya selepas memantau Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) di Kampung Acheh, di sini, pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan dan nasihat daripada agensi berkaitan untuk membolehkan Pulau Langkawi dibuka.

"Kita sudah selesai program vaksinasi, cuma sekarang kita perlu pastikan kes harian berada bawah 10 selepas ini," katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah membuat persediaan sebanyak 10 perjalanan feri apabila Langkawi dibuka membabitkan enam perjalanan dari Kuala Perlis dan empat perjalanan menerusi Kuala Kedah.

Difahamkan, kes baharu di Langkawi mencatatkan 70 kes baharu dan masih terdapat 1,081 kes aktif.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, MOTAC menjangkakan pulau peranginan utama negara seperti Pulau Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian boleh mencapai imuniti kelompok hujung bulan ini dan dibuka semula awal bulan September.