Hari Kebangsaan 2021 tetap disambut penuh bersemangat, sederhana

PUTRAJAYA, 31 Ogos -- Orang ramai bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dengan mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Dataran Putra hari ini.
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA, 31 Ogos -- Orang ramai bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dengan mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Dataran Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Kebangsaan ke-64 tetap disambut dengan penuh semangat patriotisme walaupun secara sederhana, sesuai mengikut persekitaran norma baharu iaitu bagi tahun kedua sejak negara dilanda pandemik Covid-19 tahun lepas.

Di PUTRAJAYA, sambutan yang diadakan di Dataran Pahlawan Negara secara hibrid tetap menyerlahkan jiwa patriotisme dalam semangat Keluarga Malaysia apabila atur caranya sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Dengan ketibaan tetamu di lokasi tersebut termasuk menteri-menteri Kabinet berlatarbelakangkan pelbagai lagu patrotik, klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan 'Malaysia Prihatin' secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula Isnin (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Pahang yang berlangsung di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan di Kuantan.

Ketibaan Tengku Hassanal disambut barisan kepimpinan negeri yang diketuai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan sambutan dimulakan dengan perbarisan kawalan kehormatan utama, upacara menaikkan Jalur Gemilang serta laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.

Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada Selasa. - Foto Bernama
Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada Selasa. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Sambutan yang diadakan semula tahun ini, selepas tidak dianjurkan tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 berlangsung secara sederhana dan turut disiarkan di akaun rasmi Facebook kerajaan negeri bagi membolehkan rakyat Pahang 'menyertai’ sambutan itu secara dalam talian.

Di ibu negara pula, kelihatan orang ramai dalam kumpulan kecil mengamalkan gaya hidup sihat di sekitar Dataran Merdeka dengan mengayuh basikal serta berjoging seawal jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun keadaan di kawasan itu tenang dan orang ramai juga mematuhi SOP ditetapkan serta dilihat mula bersurai pada jam 9.30 pagi dengan lokasi tersebut dikawal dengan baik oleh anggota polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Di KELANTAN, pelbagai inisiatif dilakukan orang ramai walaupun secara bersederhana bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan 2021 termasuk berbasikal dengan membawa Jalur Gemilang untuk menzahirkan semangat patriotik.

Tinjauan Bernama di sekitar Kota Bharu pada Selasa mendapati kebanyakan penduduk terutamanya golongan muda mengambil inisiatif berbasikal mengelilingi kawasan sekitar bandar sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Di PULAU PINANG, Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang mengadakan program Merdeka@Komuniti iaitu serahan bendera, bakul makanan serta sagu hati kepada komuniti setempat di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) termasuk penerima vaksin bersempena sambutan Hari Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin Hotel Vangohh di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Dr Haniff Hassan berkata, melalui program tersebut, pihaknya turut menggerakkan pasukan ke beberapa kawasan di setiap daerah negeri itu termasuk daerah SPT, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Barat Daya dan Timur Laut.

Di SABAH, sambutan Hari Kebangsaan diadakan dalam suasana sederhana secara tertutup dan berskala kecil kira-kira satu jam bagi mematuhi SOP.

Melihat komitmen berterusan diberikan petugas barisan hadapan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menzahirkan penghargaan menerusi momento mengandungi nukilan khas beliau sebagai ucapan terima kasih kepada wira negeri itu atas khidmat bakti mereka sepanjang pandemik.

Jeffri Tan dengan gaya sendiri bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang ketika meraikan sambutan Bulan Kebangsaan ketika tinjauan di Dataran Merdeka pada Selasa. - Foto Bernama
Jeffri Tan dengan gaya sendiri bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang ketika meraikan sambutan Bulan Kebangsaan ketika tinjauan di Dataran Merdeka pada Selasa. - Foto Bernama

Di JOHOR, seramai 50 individu menyertai aktiviti konvoi berkereta Merdeka@Komuniti kibar jalur gemilang di Mersing bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64 mengikut norma baharu.

Program anjuran Jabatan Penerangan Mersing itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Endau Alwiyah Talib bermula di Dataran Kembara, Kampung Seri Lalang di sini, kira-kira jam 9.40 pagi.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2021 yang diadakan secara sederhana di pekarangan Wisma Negeri, Seremban di sini.

Majlis yang diadakan kira-kira setengah jam itu dimulai dengan bacaan Ikrar Rukun Negara yang diketuai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selain upacara menaikkan Jalur Gemilang serta nyanyian lagu Negaraku.

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2021 berkata, penting untuk generasi muda memahami, mendalami dan menghargai usaha dan pengorbanan yang disumbang generasi sebelum ini dalam memelihara identiti kebangsaan.

Di PERAK, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dalam perutusan di laman Facebook Jabatan Penerangan berkata, dalam keadaan negara berdepan Covid-19, penerapan semangat patriotisme masih perlu menjadi ciri penting dalam membina sebuah negara yang kekal aman serta terus maju demi rakyatnya.

Beliau berkata, keutuhan rakyat perlu sentiasa diperkukuh dalam berhadapan musuh pandemik melalui semangat patriotisme dan kebersamaan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. - Bernama