JPN sukar kesan rakyat tiada dokumen pengenalan diri

Kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah antara faktor yang mendorong isu keciciran kad pengenalan. Foto hiasan
Kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah antara faktor yang mendorong isu keciciran kad pengenalan. Foto hiasan
A
A
A

RAWANG - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih sukar mengenal pasti jumlah sebenar rakyat yang hidup tanpa dokumen pengenalan diri kerana tiada rekod khusus dalam sistem agensi itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias mendedahkan, kebanyakan kes hanya dikesan menerusi maklumat yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan laporan di media serta media sosial.

“Kalau kawasan bandar seperti di Rawang ini masih ada isu keciciran kad pengenalan sebegini bayangkan di kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak.

Badrul Hisham
Badrul Hisham

“Minggu lalu saya berada di Kota Bharu pun sebab isu sama, ada anak-anak yang masih tertinggal (tiada kad pengenalan).

"Jadi, terima kasih kepada rakan media yang mengetengahkan isu ini supaya mereka yang layak dapat dibantu,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Bandar Sungai Buaya di sini pada Jumaat.

Badrul Hisham menegaskan, antara punca utama berlakunya masalah itu kerana kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah hingga menyebabkan proses pendaftaran kelahiran anak-anak turut terjejas.

Menurutnya, apabila perkahwinan tidak didaftarkan, ia akan menimbulkan kesan besar kepada anak-anak pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran dan sejumlah 4,497 daftar lewat kad pengenalan turut direkodkan sepanjang 2025.

Katanya, jumlah yang dicatatkan itu menunjukkan masalah itu masih membimbangkan walaupun pelbagai usaha turun padang telah dilaksanakan sejak sedekad lalu.

“Jumlah itu besar walaupun kita dah jalankan program turun padang selama 10 tahun. Kita dah uar-uarkan apa yang patut dibuat dan apa yang tak patut dibuat tetapi masih ada lagi kes-kes sebegini yang kita perlu tangani,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • JPN sukar mengenal pasti jumlah sebenar rakyat tanpa dokumen pengenalan diri
  • Kebanyakan kes dikesan menerusi maklumat dari NGO dan media
  • Isu keciciran kad pengenalan berlaku di bandar dan lebih serius di kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak
  • Punca utama adalah kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan secara sah
  • Sebanyak 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran dan 4,497 daftar lewat kad pengenalan direkodkan sepanjang 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!