50 permohonan pinda status Baba Nyonya pada MyKad - JPN

Badrul Hisham pada sidang media di Bandar Sungai Buaya pada Jumaat.
Badrul Hisham pada sidang media di Bandar Sungai Buaya pada Jumaat.
A
A
A

RAWANG – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima kira-kira 50 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan setakat ini dengan sebanyak 11 daripadanya telah diluluskan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, proses kelulusan dibuat secara teliti bagi memastikan setiap permohonan disertakan bukti yang kukuh dan menepati syarat.

“Kita terima dan proses permohonan ini dari masyarakat Baba Nyonya ini dari semasa ke semasa.

"Pindaan status ia bukan hanya melibatkan Baba Nyonya, malah masyarakat Siam tempatan yang ada di negeri-negeri sempadan dengan Thailand pun kita buka permohonan pindaan status (bangsa) ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Bandar Sungai Buaya di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, projek perintis bagi mendaftarkan secara rasmi keturunan Baba Nyonya dalam dokumen rasmi komuniti berjalan lancar sekali gus membuka jalan untuk pelaksanaannya di seluruh negara bermula Khamis.

Pengerusi Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, inisiatif yang bermula di Melaka pada 1 Oktober lalu di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu akan membolehkan masyarakat Baba Nyonya di Malaysia diiktiraf secara rasmi sebagai keturunan etnik yang tersendiri buat pertama kalinya

Mengulas lanjut, Badrul Hisham menegaskan, pengiktirafan bangsa Siam diberikan kepada masyarakat Siam yang lahir dan menetap Malaysia.

"Kalau dahulu kita tak benarkan status bangsa Siam diguna pakai tapi sekarang kita dah beri kebenaran. Bangsa Siam ini untuk mereka kelahiran tempatan. Kalau masyarakat Siam yang berhijrah ke Malaysia dan berkahwin dengan orang tempatan, itu tidak layak kerana dikira bangsa Thai.

"Cuma masyarakat Siam yang sudah ada di negara ini seperti di Kelantan, Perak dan Kedah. Itu memang bangsa Siam tempatan kerana ibu bapa dan nenek moyang mereka memang lahir di negara ini," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, sistem pendaftaran bangsa di JPN bersifat dinamik dan boleh dipinda sekiranya terdapat dokumen sokongan yang kukuh termasuk melibatkan status bangsa, nama dan gelaran.

“Tiada yang statik, asalkan ada bukti salasilah keluarga dan dokumen sokongan, kita pertimbangkan sama ada Melayu, India, Baba Nyonya atau lain-lain,” jelasnya.

Badrul Hisham memaklumkan, buat masa ini permohonan pindaan bangsa perlu dilakukan secara fizikal di pejabat JPN.

Namun, katanya, pembangunan sistem bagi perkhidmatan hujung ke hujung atau ‘end-to-end’ sedang dirancang JPN.

Ringkasan AI

  • Jabatan Pendaftaran Negara menerima 50 permohonan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya dengan 11 diluluskan
  • Proses kelulusan dibuat secara teliti dengan menyertakan bukti kukuh dan memenuhi syarat
  • Pindaan status juga dibuka untuk masyarakat Siam tempatan di negeri sempadan dengan Thailand
  • Inisiatif pendaftaran rasmi keturunan Baba Nyonya di Malaysia telah dimulakan di Melaka
  • Permohonan pindaan bangsa perlu dilakukan secara fizikal di pejabat JPN sambil sistem perkhidmatan hujung ke hujung sedang dirancang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!