3,000 penggiat pelancongan Perak divaksin

Nolee Ashilin pada sesi penggulungan Sidang DUN Perak ke-14. - Foto ihsan Urusetia Dewan Negeri Perak
Nolee Ashilin pada sesi penggulungan Sidang DUN Perak ke-14. - Foto ihsan Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 3,000 penggiat industri pelancongan di Perak telah menerima suntikan vaksin setakat ini sebagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, terdapat lebih 5,000 individu terlibat dalam sektor industri pelancongan di negeri ini terdiri daripada kakitangan hotel, pemandu pelancong, pengusaha spa dan lain-lain.

"Daripada jumlah tersebut, 3,000 penggiat industri pelancongan telah menerima vaksinasi manakala 2,000 lagi akan diserapkan ke dalam program outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi mereka.

"Pelaksanaan program vaksinasi ini dapat membantu mereka membina semula semangat dalam memajukan sektor pelancongan apabila perniagaan dibuka semula dan dapat melindungi pekerja industri dan pelanggan daripada risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Pada masa sama ia akan mengembalikan keyakinan pengunjung terhadap sektor pelancongan," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Nolee Ashilin memaklumkan kerajaan negeri belum bercadang untuk mewujudkan koperasi bagi menguruskan pelancongan di setiap daerah memandangkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk mewujudkan unit pelancongan khas di daerah masing-masing.

"Tetapi saya juga faham ada juga di kawasan tertentu terdapat produk pelancongan yang dikawal selia oleh PBT atau Pejabat Daerah dan Tanah, ada diberikan atau diurus oleh pihak koperasi yang datangnya dari orang tempatan.

"Saya akan lihat balik sama ada cadangan itu boleh kita laksanakan di peringkat daerah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi memberi respons kepada cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir berdamar, Terence Naidu agar kerajaan negeri mewujudkan sebuah koperasi pelancongan di setiap daerah.