Macam duduk luar negara

Pemandangan indah di waktu senja.
Pemandangan indah di waktu senja.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Kampung Taman Sedia di sini sememangnya cukup terkenal dengan homestay diusahakan sendiri oleh penduduknya.

Apa yang menarik, semua 17 homestay mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri mengikut kreativiti pemilik masing-masing.

Salah satu daripadanya ialah Tiny Boutique Habitat milik pasangan suami isteri, Abdul Rahman Hussain, 66, dan Maryam Zai Adabi, 62.''


Abdul Rahman dan isterinya, Maryam Zai.
Abdul Rahman dan isterinya, Maryam Zai.

Mula beroperasi sejak 2017, homestay ini memilih konsep English cottage yang diinspirasikan daripada kediaman di luar negara.

Abdul Rahman berkata, dari awal lagi mereka mahu mengetengahkan homestay komuniti dan sebab itu memililh nama Tiny Boutique Habitat.

"Tiny itu kerana tanah ini kecil saja, manakala Habitat bermakna ada komuniti. Secara keseluruhannya, ia membawa maksud ada habitat mini dalam homestay ini," katanya.

Berkenaan konsep English cottage, ia diilhamkan hasil idea sepenuhnya idea si isteri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, konsep tersebut bukan saja untuk kelainan, malah dalam masa sama mereka mahu memberi peluang kepada pelanggan merasai suasana seperti di negara orang putih.


Homestay ini memilih konsep English cottage bagaikan di luar negara.
Homestay ini memilih konsep English cottage bagaikan di luar negara.

Ia diterjemahkan melalui reka bentuk bilik yang dibina satu setengah tingkat dan memiliki loteng, serta dekorasi dalamannya yang mendapat sentuhan ala Inggeris.

"Ada pelanggan yang kagum kerana rekaan bilik sama seperti ketika mereka tinggal di luar negara dan mengimbau kenangan ketika merantau.

"Bagi pelanggan yang tidak pernah ke luar negara pula, mereka gembira kerana dapat pengalaman itu di sini termasuk merasa duduk di rumah yang ada loteng," katanya.

Beliau turut berkongsi, ada tetamu luar negara mahu rasai pengalaman homestay Melayu di sini.

"Tapi kami beritahu terus terang homestay kami bukan sebegitu. Tempat ini lebih kepada pengunjung tempatan yang nak rasa pengalaman di luar negara," katanya.

Landskap indah di taman yang bertemakan English garden.
Landskap indah di taman yang bertemakan English garden.

Taman bunga indah, bermanja dengan arnab

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pemandangan indah landskap taman di homestay ini berkonsep 'English garden'.

Bukan saja terdapat tanaman herba seperti lavender dan calendula, malah bunga-bungaan seperti geranium, hydrangea dan mawar tumbuh mekar di sekeliling penginapan.

Pokok buah-buahan seperti mulberry, markisa dan buah tin serta sayur-sayuran turut ditanam di kebun mini.

Abdul Rahman, Maryam dan anak mereka, Ahmad Myrza di hadapan homestay.
Abdul Rahman, Maryam dan anak mereka, Ahmad Myrza di hadapan homestay.

Malah, pasangan ini juga membela arnab-arnab baka luar negara seperti holland lop, netherlands dwarf, rex dan teddy bear serta ayam dan angsa sebagai tarikan kepada pengunjung.

Mereka yang mahukan kelainan dalam makanan pula boleh mencuba piza kayu arang yang dijual di Tiny Boutique Cafe diuruskan anak pasangan ini.

"Kami mahu homestay ini bukan sekadar tempat menginap, tetapi pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti. Misalnya, kanak-kanak boleh bermain dengan arnab-arnab yang akan dilepaskan pada masa tertentu.

"Mereka juga boleh mengadakan BBQ di kawasan taman. Malah, ada tetamu yang bentang tikar duduk ramai-ramai bersama keluarga untuk tengok matahari terbit," katanya.

Abdul Rahman berkata, maklum balas daripada pelanggan amat menggalakkan kerana boleh merasai pelbagai pengalaman dalam satu tempat.

Antara bilik yang ditawarkan kepada tetamu dengan dekorasi ala Inggeris.
Antara bilik yang ditawarkan kepada tetamu dengan dekorasi ala Inggeris.