Projek KXP tidak jejas kualiti air Sungai Muda

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak akan mencemarkan kebersihan dan menjejaskan kualiti air di Sungai Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek KXP dan Kedah Aerotropolis telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya untuk penilaian.

Beliau berkata, keseluruhan aspek alam sekitar telah dikaji dengan teliti, yang mana pelbagai metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan kesemua impak terhadap alam sekitar diambil kira dalam kajian terbabit.

"Berdasarkan impak alam sekitar yang dikenal pasti, langkah-langkah mitigasi dicadangkan berdasarkan Best Management Practices (BMPs) yang ada dalam sektor industri supaya air sungai dan alam sekitar tidak terjejas serta dapat mengekalkan status quo.

"Berdasarkan Laporan EIA, timbunan tanah, simen dan pasir adalah sumber pencemaran kepada sungai sekiranya terdapat sesebuah pembangunan terletak berhampiran dengan laluan air namun langkah mitigasi telahpun disyorkan dalam laporan EIA untuk memastikan ia tidak menyebabkan pencemaran terhadap aliran sungai," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertajuk ‘Cadangan Projek Lapangan Terbang Kulim Tidak Harus Menjejaskan Bekalan Air di Pulau Pinang’ pada Isnin minggu lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, laporan Land Disturbing Pollution Prevention and Mitigation Measures (LDP2M2) yang disediakan untuk projek ini menyatakan semua timbunan perlu ditempatkan sekurang-kurangnya dalam jarak 20 meter (m) dari tebing Sungai Jerong dan 50 m dari tebing Sungai Muda,

"Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat akan dipastikan mematuhi Garis Panduan Pembangunan Sungai dan Rezab Sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi memberitahu syarat dinyatakan itu bukan sahaja terhad kepada Sungai Muda atau Sungai Jerong tetapi di semua sistem aliran air yang terdapat dalam lokasi projek adalah mengikut Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dikeluarkan JPS.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua timbunan akan dilitupi atau ditutup dengan kepingan terpal (tarpaulin), selimut hakisan, tanaman penutup dan penyemaian rumput.

Selain itu katanya, pagar kelodak (silt fence) juga akan dipasang di sepanjang kawasan timbunan untuk memberikan perlindungan tambahan serta pengasingan punca pencemaran.

Disebabkan itu, tegas beliau, kualiti air Sungai Muda juga tidak akan terjejas kerana kolam dan pagar kelodak akan dibina di sepanjang kawasan yang bersempadanan.

"Ini termasuk dalam zon penampan dengan Sungai Muda bagi memastikan kualiti air sungai tidak terjejas dengan jarak paling hampir zon pembangunan lapangan terbang dengan Sungai Muda adalah sejauh 500 m," katanya.

Ujar beliau, kolam kelodak (silt pond) juga akan dibina untuk memastikan kelodak tidak memasuki aliran Sungai Muda seperti ditunjukkan dalam dokumen LDP2M2 dengan disokong oleh kajian pemodelan kualiti air yang telah dijalankan untuk projek ini.

"Berdasarkan Laporan EIA, kajian mendapati impak terhadap Sungai Muda adalah tidak signifikan serta boleh diabaikan kerana kualiti air adalah tetap sama seperti kualiti sedia ada apabila langkah-langkah mitigasi yang disyorkan diaplikasi di tapak projek," katanya.

Justeru, Muhammad Sanusi berkata, kebimbangan Pulau Pinang dan PBAPP boleh dianggap tidak berasas atau sengaja direka-reka bertujuan untuk mencetuskan kacau ganggu atau sengaja untuk memberikan persepsi buruk orang awam terhadap projek KXP.

Pada 23 Ogos, PBAPP memberi amaran bahawa cadangan projek KXP di Kedah boleh mencemarkan Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah sejak 1974.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek KXP boleh jejaskan bekalan air di Pulau Pinang