61.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 61.9 peratus atau 14,487,972 individu daripada populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat Sabtu, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter rasminya pada Ahad memaklumkan, seramai 19,241,946 individu atau 82.2 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat Sabtu sebanyak 33,724,744 dos.

Menurut JKJAV, 58.9 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama, manakala 44.4 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian pada Sabtu pula merekodkan sebanyak 336,642 dos dengan 190,010 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 146,632 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: