Pas Perak tak layan desakan pembangkang

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

BAGAN SERAI - Pas Perak tidak mahu melayan desakan pembangkang yang mahu seorang exco daripada parti itu meletakkan jawatan ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, desakan seperti itu merupakan sebahagian tugas pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Kata beliau, tuduhan bahawa terdapat exco dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN) Perak melakukan sabotaj terhadap usaha kerajaan negeri menangani Covid-19 juga langsung tidak berasas.

"Tak ada (sabotaj). Kita memang ada dalam kerajaan, jadi usaha menangani pandemik Covid-19 ini tanggungjawab bersama bukan sahaja kakitangan kerajaan, exco dan sebagainya, orang awam pun terlibat sama.

"Kalau mengatakan ada kakitangan kerajaan, exco yang berbuat demikian memang tugas pembangkanglah. Dia tak ada isu dia buat macam itu. Memang tak ada, operasi pusat vaksin pun berjalan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Bagan Serai Secara Pandu Lalu oleh Pas Kawasan Bagan Serai di Surau Al-Ansar Alor Pongsu, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad bahawa terdapat exco kerajaan negeri dari PN yang mensabotaj usaha menangani Covid-19 oleh kerajaan Perak.

Mengenai kritikan dan desakan letak jawatan oleh pembangkang terhadap Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, Razman menjelaskan ADUN Pas itu menjalankan tugas dengan baik.

Menurutnya, usaha menangani Covid-19 di Perak dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim manakala Exco Kesihatan hanya sebahagian daripada jawatankuasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembangkang tidak memahami struktur pentadbiran bagi menangani Covid-19 malah dakwaan exco berkenaan tidak turun padang langsung juga tidak berasas kerana prosedur operasi standard (SOP) ketika ini tidak membenarkan sesuatu lawatan disertai ramai individu.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata, Pas Kawasan Bagan Serai telah menggerakkan inisiatif membantu mangsa banjir dengan membersihkan kawasan kediaman terjejas teruk.

Menurutnya, selain itu, bantuan berupa keperluan dapur diberikan kepada keluarga terlibat bagi meringankan beban ditanggung.