‘Terlalu lemah jika Bersama kalah terus bubar’ – Syukri

Syukri ketika Program Interviu di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.
Syukri ketika Program Interviu di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak tunduk kepada desakan supaya dibubarkan hanya kerana mengalami kekalahan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya mahu terus memperkukuh sokongan rakyat dalam jangka panjang.

Presidennya, Syukri Razab berkata, perjalanan sesebuah parti politik tidak wajar dinilai berdasarkan keputusan pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira perkembangan parti, peningkatan sokongan pengundi dan hala tuju perjuangannya.

Menurutnya, Bersama mempunyai matlamat untuk membawa pendekatan politik berbeza serta menawarkan pilihan baharu kepada rakyat, justeru usaha membina parti itu tidak seharusnya terhenti hanya kerana keputusan pilihan raya yang kurang memberangsangkan.

“Bersama memang hendak bawa prinsip berbeza (kerana) permulaan kita pun diasaskan tokoh begitu sikapnya dan begitulah perkembangan kita ke depan, (malah) kita tidak akan kompromi dan tegas.

“Kalau begini jalur dan jalannya, maka takkanlah dengan mudah kita hendak bubarkan parti ini hanya sebab kalah satu, dua pilihan raya.

“(Kita perlu melihat) perkembangan dan ramalan jangka masa panjang (kerana) saya rasa perkara itu terlalu kecil untuk (dijadikan alasan membubarkan parti) bila kalah, (malah tindakan itu) terlalu lemah bagi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Interviu bertajuk ‘Kisah Bersama Tak Menang Pilihan Raya’ yang dihoskan Haizir Othman di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berpandangan Bersama wajar dibubarkan selepas PRN Melaka susulan manifesto parti itu didakwa tidak realistik, selain sambutan terhadap siri ceramahnya yang kurang memberangsangkan.

Mengulas lanjut, Syukri berkata, Bersama merupakan parti baharu yang baru berusia enam bulan ketika menyertai PRN Melaka, manakala penyertaan sulungnya pada PRN Johor adalah ketika parti itu berusia kira-kira tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, prestasi Bersama perlu dinilai berdasarkan perkembangan sokongan pengundi di kawasan yang ditandingi termasuk menerusi perbandingan keputusan kedua-dua PRN berkenaan.

Beliau berkata, Bersama merekodkan peningkatan peratusan undi daripada 3.8 peratus kepada 5.8 peratus, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh enam bulan.

Tambahnya, parti yang menggunakan simbol kancil itu turut berjaya ‘pecah telur’ apabila mencatatkan peningkatan sokongan pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada PRN Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!