Amanah berdepan risiko tidak relevan selepas PRU16 – Raja Bahrin

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Parti Amanah Negara (Amanah) berdepan persoalan besar mengenai hala tuju dan kerelevanan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gagal melakukan pembaharuan serta muhasabah diri.

​Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, isu hala tuju parti selepas 11 tahun penubuhannya dibangkitkan oleh perwakilan Perak pada Konvensyen Amanah baru-baru ini dan perlu diperjelaskan secara tuntas.

​Menurutnya, timbul persoalan mengenai konsep Islam sebenar yang ingin dibawa oleh parti memandangkan golongan agamawan dan asatizah didakwa tidak diketengahkan sewajarnya.

​"Walaupun kita mempunyai bekas Menteri Agama yang telah memikul tanggungjawab menterjemah Islam rasmi negara dengan baik, serta seorang lagi asatizah dari Rusila yang popular di TikTok, penubuhan cawangannya pula masih tertangguh selepas dua tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

​Tambah beliau, menerusi konsep Pakatan Harapan (PH) dan 'Khemah Besar' yang dicadangkan, kedudukan Amanah akan menjadi lebih tercabar tanpa imej tersendiri berbanding rakan komponen lain.

​"Dalam gabungan tiga parti utama PH, PKR mempunyai imej parti berbilang kaum dan DAP mempunyai pengikut tersendiri, tetapi Amanah masih belum jelas imejnya," ujar beliau.

​Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin turut menyentuh teguran perwakilan mengenai wujudnya sikap asobiyah di sekeliling pimpinan tertinggi parti yang mempunyai pengaruh besar, sedangkan penubuhan Amanah dahulu antara lain berpunca daripada pergeseran kumpulan ustaz dan profesional.

​Beliau memberi contoh penganjuran acara malam meraikan perjuangan Palestin semasa Konvensyen Amanah di Klang baru-baru ini yang didakwa tidak menjemput wakil Palestin untuk berucap serta meminggirkan Biro Antarabangsa Amanah.

​"Pihak berkenaan sebaliknya menjemput dua tokoh lain yang boleh mengundang kontroversi kerana pandangan serta latar belakang mereka dalam kalangan mufti dan ahli majlis fatwa.

Artikel Berkaitan:

​"Langkah tidak sensitif itu telah mengguris perasaan dan menjejaskan hubungan baik pimpinan Palestin di Malaysia dengan Biro Antarabangsa Amanah yang telah lama terjalin," katanya.

​Mengulas mengenai proses demokrasi dalaman, beliau mempersoalkan keengganan parti mengadakan pemilihan sedangkan kesemua parti komponen PH iaitu PKR dan DAP, serta UMNO telah selesai mengadakan konvensyen dan pemilihan masing-masing bagi menyuburkan proses peremajaan parti.

​Beliau mendakwa perbahasan mengenai penangguhan pemilihan pada konvensyen lalu bukan sahaja disekat ketika Pengerusi Tetap ingin membuka ruang, malah persoalan ahli mengenai jumlah keahlian parti juga tidak dijawab.

​"Amanah akan menghadapi PRU16 dengan status quo pimpinan tanpa pembaharuan kerana tiada pemilihan. Mengapa Amanah tidak bersedia membenarkan pemilihan sementara rakan-rakan PH lain telah lama selesai?" soalnya.

Tegas beliau, teguran membina daripada penganalisis dan penulis politik sebelum ini juga seolah-olah tidak diendahkan, termasuk sikap tidak berpijak di bumi nyata sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila parti mendakwa akan menang besar.

​Katanya, tanpa pembaharuan dengan mengambil kira pandangan penganalisis politik sebelum dan selepas empat PRN iaitu Sabah, Johor, Negeri Sembilan serta Melaka baru-baru ini, Amanah bakal berdepan cabaran getir.

​"Dengan isu asabiyah dalaman, tiada hala tuju jelas selepas 11 tahun dan ketiadaan suntikan suara baharu akibat penangguhan pemilihan yang berpanjangan, adakah Amanah akan kekal relevan untuk terus bersaing dan wujud selepas PRU16?" katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!