Netizen 'serang' PM kerana ziarah kubur

Ismail Sabri yang baharu dilantik sebagai Perdana Menteri singgah di tanah perkuburan tersebut sebelum meneruskan perjalanan bagi melakukan lawatan kerja ke Daerah Bera pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri yang baharu dilantik sebagai Perdana Menteri singgah di tanah perkuburan tersebut sebelum meneruskan perjalanan bagi melakukan lawatan kerja ke Daerah Bera pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sabtu merupakan hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pulang ke kawasan beliau di Bera, Pahang selepas dilantik untuk menjawat jawatan penting dalam negara.

Jadual yang disusun untuk beliau juga dikatakan cukup padat apabila perlu menghadiri beberapa program antaranya Eksesais Para Predator di Kampung Batu Boh dan majlis penyerahan bantuan bakul makanan kepada wakil dari tujuh kampung berhampiran masjid Kampung Kuala Bera, diikuti acara sama di masjid Kampung Kuala Triang.

Sebelum itu, Ismail Sabri turut mengambil kesempatan untuk menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang.

Namun, gambar beliau di tanah perkuburan telah pun tersebar di media sosial sehingga mencetuskan pertikaian dalam kalangan warganet.

Rata-rata daripada mereka mendakwa Ahli Parlimen Bera itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang, malah wujud amalan dua darjat antara orang biasa dengan golongan kenamaan.

Ia berikutan apabila sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu masih menjadi Perdana Menteri mengumumkan aktiviti ziarah hari raya dan ziarah kubur adalah dilarang bagi tujuan aspek penjarakan fizikal.

Ada juga antara mereka menuntut Ismail Sabri memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk pulang menziarahi ibu bapa di kampung seperti mana kelonggaran diberikan kepada pemimpin negara.

Bagaimanapun, bagi meredakan keadaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata, dakwaan itu tidak tepat dan Ismail Sabri masih patuh kepada undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan.

Ini kerana, tiada SOP khusus berkenaan aktiviti ziarah kubur melainkan ia hanya berkuat kuasa semasa Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

Justeru, Rodzi berkata, orang awam dibenarkan untuk menziarahi tanah perkuburan asalkan mematuhi SOP ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Sehubungan itu, dengan apa yang berlaku pada Sabtu, diharapkan tiada lagi timbul isu amalan dua darjat kerana situasi negara masih lagi dalam keadaan kritikal.

Dengan kes harian Covid-19 yang masih mencecah 20,000 ke atas, ditambah dengan jumlah kematian yang mencatatkan tiga angka, ia bukanlah satu perkara yang harus diambil enteng kerana semua pihak perlu sama-sama berganding bahu dalam melawan virus halimunan ini.

Pemimpin merupakan cerminan rakyat, bak kata pepatah Melayu ‘Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’.