Tragedi kepala air: Sukarelawan bantu penduduk bersih rumah

Sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan rumah mangsa bencana akibat tragedi kepala air Gunung Jerai.
Sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan rumah mangsa bencana akibat tragedi kepala air Gunung Jerai.
A
A
A

YAN - Rata-rata penduduk di Daerah Yan yang terjejas fenomena kepala air mahukan membersihkan rumah mereka terlebih dahulu sebelum memikirkan keperluan lain.

Pengarah Operasi, Misi Bantuan Kemanusiaan, Bencana Yan merangkap Setiausaha ABIM Negeri Kedah, Mohd Faidzal Mat Isa berkata, mengambil kira faktor tersebut membolehkan pasukan itu antara yang terawal turun padang melaksanakan misi bantuan membersihkan kediaman penduduk terjejas.

Menurutnya, kebanyakan penduduk meluahkan hasrat sama biarpun banyak kerosakan membabitkan perabot dan peralatan rumah termasuk perkakasan makanan yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian terbabit.

"Ramai yang mengucapkan terima kasih apabila rumah sudah dibersihkan, itu sebagai tanda kesyukuran meskipun kami tahu banyak lagi keperluan yang mereka perlu jauh lebih banyak kerana banjir kali ini memusnahkan harta benda, sehingga ada yang terkorban," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada semua pasukan yang terlibat antaranya Global Peace Mission (GPM), Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Muhsinin Utara, Aspirasi Peduli Ummah, Majlis Belia Malaysia dan lain-lain yang turut serta dalam misi bencana kali ini.

"Misi ini digerakkan sejak Sabtu lalu dan akan ditamatkan sehingga Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2021 sebagai tanda cintakan negara serta ikatan persaudaraan yang harmoni kepada rakyat Malaysia terutamanya mangsa banjir di Yan," katanya.

Bantuan bakul makanan dan keperluan lain turut disampaikan dari semasa ke semasa.

Beliau mengharapkan agar bantuan tersebut dapat memberikan sedikit kelegaan buat mereka yang ditimpa musibah selain meringankan beban keluarga.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam atas nama Tabung Amanah Dakwah bernombor 0201-1010-0614-52.

Resit boleh diserahkan melalui nombor 013-3803 207 dengan meletakkan istilah Banjir Yan.