Aid 4 Turkiye & Syria teruskan misi hantar bantuan

Pasukan kelima dihantar untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang amat memerlukan

A
A
A

Kumpulan kelima misi bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria diketuai oleh Mohd Yusni (tengah) berlepas dari KLIA, semalam.
Kumpulan kelima misi bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria diketuai oleh Mohd Yusni (tengah) berlepas dari KLIA, semalam.

KUALA LUMPUR - Berikutan tragedi gempa bumi yang menimpa Turkiye-Syria menyebabkan banyak runtuhan rumah dan bangunan hancur berkecai menyembah bumi sehingga ramai penduduk setempat kehilangan tempat berteduh

Atas semangat kebersamaan dan keprihatinan, gabungan Aid 4 Turkiye dan Syria akan meneruskan lagi misi kemanusiaan untuk membantu rakyat kedua-dua negara itu.

Pasukan kali ini adalah kumpulan kelima yang diketuai oleh Pengarah Aid 4 Turkiye & Syria, Mohd Yusni Mat Piah bersama wakil media tempatan.

Pasukan ini akan berlepas ke Turkiye pada pagi ini melalui kerjasama yang telah diadakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sana

Menurut Mohd Yusni, fokus utama bagi misi kemanusiaan kali ini adalah sumbangan berbentuk kontena penempatan dan makanan keperluan bagi meneruskan kehidupan mereka.

“Pihak Aid 4 Turkiye & Syria mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyumbang bagi menjayakan misi bantuan sesi lepas.

“Rentetan dari sumbangan yang telah diberikan pada misi pertama sehingga misi ke empat, sekretariat Aid 4 Turkiye & Syria akan mengemaskini dan meneliti semula segala bentuk sumbangan agar ia betul-betul sampai kepada tangan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas beliau, pihak Aid 4 Turkiye & Syria menyeru seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang mengikuti perkembangan gempa bumi Turkiye-Syria untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung bantuan mangsa gempa bumi.