MMA harap Khairy beri keutamaan kepada isu berkaitan pandemik

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysian (MMA) berharap penubuhan suruhanjaya kesihatan bagi membawa Malaysia keluar daripada belenggu pandemik Covid-19 akan menjadi agenda utama Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang baharu.

Presidennya, Prof Datuk Dr M.Subramaniam dalam kenyataan pada Jumaat berkata, kementerian kesihatan merupakan kementerian yang paling penting ketika ini, semasa negara sedang bergelut dalam memerangi pandemik itu.

“Ada juga isu yang sudah lama berlarutan seperti isu kontrak doktor, yang kita harap akan dapat diselesaikan. Mungkin Yang Berhormat Khairy Jamaluddin boleh menjadi menteri yang akan dapat menyelesaikan isu ini, mungkin kurang dari 100 hari,” katanya.

Beliau berkata, Khairy telah membuktikan kewibawaan beliau sebagai pemimpin yang baik dalam melaksanakan tugasnya menerajui kementerian sebelum ini termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"MMA juga berharap beliau mengiktiraf peranan penting penjagaan primer dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan keperluan kerjasama dan kolaborasi erat bagi sektor awam-swasta dalam pengurusan.

MMA seterusnya mengucapkan tahniah kepada Khairy yang dilantik bagi menerajui Kementerian Kesihatan (KKM), dan berharap beliau akan dapat membawa idea yang baharu dan inovatif ke kementerian yang baru diterajuinya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat mengumumkan senarai menteri kabinet yang melibatkan lantikan 31 menteri, termasuk empat menteri kanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: