X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Permohonan Najib batal notis bankrap didengar 7 Disember

Najib. ​Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lepas, akan didengar pada 7 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib, ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Ida Rahayu Sharif hari ini (Jumaat) yang turut disertai Peguam Hasil Siti Aisyah Yusoff dan Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

"Tarikh sama ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi penggantungan prosiding kebankrapan sementara menunggu pelupusan kes rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan atau sementara menunggu rayuan penghutang penghakiman (Najib) di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) selesai sepenuhnya," katanya.

Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankarapan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lepas adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah selain taktik konspirasi politik bertujuan untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!