Sila log masuk terlebih dahulu.

Selangor pinjamkan 200,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan 200,000 dos vaksin Covid-19 bagi tujuan mevaksin baki penduduk negeri ini yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan klinik SelCare atas kelulusan dan penghantaran vaksin itu.

"Kami berharap semua penduduk Pulau Pinang menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka pada minggu pertama bulan September," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 225,226 penduduk Pulau Pinang belum menerima suntikan dos pertama vaksin dengan majoriti merupakan penduduk di daerah Seberang Perai Tengah.

“Daerah Seberang Perai Tengah yang merupakan tumpuan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang, mempunyai 76,000 orang yang belum menerima dos pertama. Selain itu, 75,000 hingga 80,000 lagi pekerja di kilang-kilang kecil yang telah mendaftar dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga masih belum menerima suntikan vaksin,” katanya.

Berdasarkan kajian analisis yang dilakukan oleh PhD Mathematics dari Stanford, Dr David Benjamin Lim, Norlela berkata, kilang dan tempat kerja lain telah menyumbang 70 peratus jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) 3.0.

Beliau seterusnya mencadangkan penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah swasta (PKRC Swasta) yang dipantau oleh pengamal perubatan am, dan juga pelaksanaan kuarantin bagi tujuan mengurangkan beban jabatan kesihatan negeri.

"Dengan adanya PKRC swasta untuk melaksanakan kuarantin pesakit, terutama pekerja kilang di daerah Seberang Perai Tengah, ia akan membantu mengurangkan penyebaran jangkitan Covid-19 kepada masyarakat," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: