Projek WCE alami kelewatan

Mohd Zolkafly pada sesi soalan lisan pada Persidangan DUN Perak ke-14 di Ipoh pada Khamis. - Foto: SUK Perak
Mohd Zolkafly pada sesi soalan lisan pada Persidangan DUN Perak ke-14 di Ipoh pada Khamis. - Foto: SUK Perak
A
A
A

IPOH - Pembinaan Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Seksyen 11 yang bermula dari Persimpangan Beruas hingga Taiping Selatan mengalami kelewatan berbanding jadual sebenar.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, peratusan kemajuan kerja pembinaan di Seksyen 11 sepanjang 35.5 kilometer bagi tempoh berakhir 25 Julai lalu baru mencapai 51.55 peratus berbanding jadual sepatutnya iaitu 99.30 peratus.

Menurutnya, selain kekangan terhadap bekalan bahan binaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, punca utama kelewatan pembinaan di situ adalah disebabkan prestasi kontraktor utama yang tidak memuaskan.

"Bagi menangani isu ini syarikat konsesi iaitu West Coast Expressway Sdn Bhd melalui kontraktor EPC telah mengambil alih kerja pembinaan di seksyen tersebut bagi menyiapkan baki kerja pembinaan.

"Kerajaan negeri juga telah diberi taklimat berkenaan isu ini dan LLM memberi komitmen untuk menyiapkan baki-baki kerja projek ini iaitu 48 peratus lagi mengikut garis masa baharu," katanya ketika menjawab soalan Jamilah Zakaria (BN-Trong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan itu adalah kerja tanah, letupan batu, pembinaan struktur dan jambatan, perparitan, cerun dan lain-lain.

"Dengan penyelarasan jadual kerja baharu ini, projek pembinaan di seksyen terbabit dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2024," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zolkafly memberitahu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang meneliti dan merangka perancangan strategik pembangunan pekan-pekan kecil di jajaran WCE terhadap tiga lokasi iaitu Sitiawan, Teluk Intan dan Hutan Melintang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai aktiviti ekonomi baharu seperti pembuatan produk berasaskan pertanian, industri pembuatan dan pemprosesan makanan dan minuman malah industri minyak dan gas mampu dikembangkan di situ.

"Kerajaan negeri yakin jajaran Seksyen 11 turut tidak akan ketinggalan mendapat manfaat ekonomi melalui usaha pengintegrasian pusat komersial serta kemudahan orang ramai di dalam satu kawasan yang lebih kondusif kepada peniaga dan masyarakat tempatan," katanya.