Maqis Kelantan serah ayam sejuk beku kepada Penjara Penor

Maqis Kelantan menyerahkan 600kg keratan ayam sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang pada Rabu.
Maqis Kelantan menyerahkan 600kg keratan ayam sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang pada Rabu.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan menyerahkan 600 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang pada Rabu.

Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, penyerahan bernilai RM5,700 itu bertujuan memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan sebagai makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara berkenaan.

"Serahan yang dilakukan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang dilucutkan hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, pada 11 Ogos lalu, Maqis Kelantan telah menyerahkan keratan ayam sejuk beku kepada Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak berjumlah 840 kg.

Beliau berkata, keratan ayam sejuk beku bernilai RM7,000 itu bertujuan memastikan bekalan makanan haiwan dalam keadaan yang mencukupi.
Artikel Berkaitan:


Roslan berkata, Maqis Kelantan sentiasa prihatin dalam membantu setiap agensi yang memerlukan.

"Selain itu, pegawai Maqis Kelantan akan terus komited melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya dagangan yang melibatkan ayam atau daging.

"Kami juga tidak akan berkompromi dalam melibatkan aspek halal kerana ini adalah perkara yang paling dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia," katanya.