Polis serah isu kalimah ALLAH kepada kerajaan

Acryl Sani menyampaikan ucapan kepada pengamal media pada Majlis Hi-Tea PDRM Bersama Media sempena Sambutan Aidilfitri Tahun 2023 di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis. - Foto Bernama
Acryl Sani menyampaikan ucapan kepada pengamal media pada Majlis Hi-Tea PDRM Bersama Media sempena Sambutan Aidilfitri Tahun 2023 di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan siasatan berhubung isu kalimah ALLAH dan menyerahkan perkara itu kepada pihak kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setelah melakukan siasatan terperinci, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan lanjut.

"Kita serah kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu ini kerana saya percaya akan ada satu taklimat kepada Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini.

"Saya percaya isu terbabit sudah pun diselesaikan dengan baik dan saya rasa eloklah kita selesai di situ (Majlis Raja-Raja).

"Diharap tidak ada lagi perkara yang timbul berhubung isu ini," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea PDRM bersama media sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Anwar menegaskan akan menyelesaikan isu kalimah ALLAH secara menyeluruh dan bersepadu.

Tegas Anwar, kerajaan turut komited memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ALLAH.