Jiwa Kane kekal bersama Tottenham

Harry Kane - Foto AFP
Harry Kane - Foto AFP
A
A
A

KAPTEN Tottenham Hotspur, Harry Kane menamatkan teka-teki masa depannya bersama The Lilywhites apabila mengesahkan untuk kekal bersama kelab London kendalian Nuno Espírito Santo itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pemain berusia 28 tahun yang juga tonggak England semasa kejuaraan Euro 2020 berkata demikian selepas menyaksikan sambutan diberikan penyokong-penyokong The Spurs ketika membuat penampilan sulung menentang Wolverhampton di Stadium Molineux.

Pada perlawanan itu, pelawat melakar kemenangan 1-0 mengatasi tuan rumah hasil jaringan penalti Dele Alli pada minit ke-10 menyaksikan Kane dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Son Heung-min selepas terlepas dua perlawanan awal pasukannya musim ini.

“Sangat menakjubkan untuk melihat sambutan daripada penyokong-penyokong Tottenham Hotspur dan membaca sebahagian mesej yang memberi sokongan kepada saya sejak beberapa minggu ini.

“Sejujurnya saya akan kekal di Stadium Tottenham Hotspur pada musim panas ini dan fokus 100 peratus untuk membantu pasukan meraih kejayaan,” ujar Kane menerusi Twitternya.

Untuk rekod, Kane merupakan penjaring kedua terbanyak The Lilywhites dengan 221 gol, ketinggalan 45 gol di belakang pemegang rekod, Jimmy Greaves sebelum ini meluahkan hasratnya untuk meninggalkan pasukan masa kecilnya itu bagi memburu trofi pertama dalam kariernya.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola sebelum ini juga menegaskan tetap meletakkan Kane sebagai pilihan utama berbanding pemain-pemain lain yang mahu dibawa ke Etihad pada musim ini.

Artikel Berkaitan: